Firefly sambung semula penerbangan ke Singapura mulai 21 April

Iklan

KUALA LUMPUR - Syarikat penerbangan premium jarak dekat Malaysia, Firefly, akan menyambung semula penerbangannya ke Singapura mulai 21 April.

Dalam kenyataan hari ini, FlyFirefly Sdn Bhd berkata, penerbangan antara Subang dan Lapangan Terbang Seletar itu akan mempunyai jadual dua kali sehari dari 22-28 April, diikuti enam penerbangan sehari selepas itu.

Iklan
Iklan

"Jadual tersebut mengambil kira langkah-langkah keselamatan yang ketat dan mematuhi keperluan teknikal ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.

"Tiket boleh dibeli mulai 12 April melalui laman web www.fireflyz.com.my, aplikasi mudah alih atau pusat panggilan di 03-7845 4543,” katanya.

Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Philip See berkata, penerbangan tersebut akan memainkan peranan yang penting dalam mengukuhkan hubungan ekonomi dan sosial antara kedua-dua negara.

"Ia penting kepada perniagaan, menghubungkan keluarga dan rakan-rakan, serta untuk pelancongan.

Iklan

"Jadual baharu itu, bersama dengan penambahbaikan perkhidmatan yang lain, akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang," katanya.

Mengenai masa depan, syarikat penerbangan itu menyasarkan untuk menyambung semula jadual penuh apabila kelulusan pengawalseliaan dan teknikal yang diperlukan diperoleh.

Firefly menggantung operasinya ke Singapura pada 1 Disember 2018, susulan Malaysia membantah prosedur Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) Lapangan Terbang Seletar.

Pada Sabtu lepas, Singapura mengumumkan untuk menarik balik prosedur ILS. - Bernama