Proses pengundian PRU15 selesai

Iklan
Petugas SPR mengikat peti undi di hadapan agen calon selepas tamat waktu mengundi di pusat mengundi PRU15 di Sekolah Kebangsaan Batu Putih Baru hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pusat-pusat pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dibuka sejak 8 pagi tadi di Semenanjung Malaysia ditutup pada 6 petang ini.

Proses pengundian di Sabah, Sarawak dan Labuan yang bermula pada 7.30 pagi tadi pula selesai di antara 11 pagi hingga 5.30 petang ini.

Iklan
Iklan

Turut diadakan serentak hari ini adalah pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, yang ditangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan Covid-19.

Seramai 21,173,638 pemilih berdaftar layak mengundi bagi PRU15.

Iklan

Sehingga 4 petang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan kira-kira 70 peratus pemilih telah keluar mengundi.

Pengundian hari ini melibatkan 221 kerusi Parlimen berikutan pilihan raya Parlimen Padang Serai diadakan berasingan susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang kerusi itu, M Karupaiya pada Rabu lepas.

Iklan

Sementara itu, SPR mengumumkan bahawa proses pengundian di 11 pusat mengundi dalam Parlimen Baram, Sarawak digantung ekoran cuaca buruk yang menyebabkan petugasnya tidak dapat ke pusat berkenaan.

PRU kali ini juga menyaksikan sebanyak 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan iaitu di Perak (59), Pahang (42), Perlis (15) dan satu kerusi di Bugaya, Sabah.

Namun, pengundian kerusi DUN Tioman tidak dapat diadakan hari ini berikutan kematian calon Perikatan Nasional (PN), Md Yunus Ramli kira-kira 3.30 pagi ini di Hospital Rompin, Pahang.

Susulan itu, SPR menetapkan pengundian bagi kerusi Parlimen Padang Serai dan kerusi DUN Tioman diadakan pada 7 Disember dengan hari penamaan calon pada 24 November dan hari mengundi awal pada 3 Disember.

Pengundian awal telah berlangsung pada Selasa lepas dengan 94.72 peratus atau 212,961 pengundi melibatkan anggota keselamatan dan pasangan melaksanakan tanggungjawab.

Sejumlah 224,828 pengundi awal berdaftar yang terdiri daripada 117,473 anggota tentera dan pasangan, 107,355 anggota polis dan pasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan. - Bernama