BUKIT MERTAJAM - Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang menyifatkan kekalahan Nurul Izzah Anwar di kerusi Permatang Pauh sebagai amat menyedihkan.
Pengerusinya, Chow Kon Yeow berkata, dengan kehilangan kerusi legasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, hasrat PH untuk menang di 11 kerusi juga tersasar.
Selain di Permatang Pauh katanya, PH turut kalah di Kepala Batas dan Tasek Gelugor.
"Kita mempertaruhkan 13 kerusi Parlimen dan menyasarkan menang 11 kerusi. Bagaimanapun, kita hanya menang 10 kerusi selepas Nurul Izzah gagal mempertahankan Permatang Pauh.
"Hasrat kita untuk menang di Kepala Batas dan Tasek Gelugor juga tidak tercapai.
"Maka pada keseluruhannya ada kecacatan pada pencapaian sasaran kita, namun ini keputusan yang sudah dibuat," katanya pada sidang akhbar di Pusat Pemantauan Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di sini pada Ahad.
Beliau yang juga Ketua Menteri memperoleh sebanyak 50,744 undi di Parlimen Batu Kawan, jauh mengatasi empat lawannya, Tan Lee Huat (BN) yang memperoleh 7,145 undi, Wong Chia Zhen (PN) mendapat 10,344 undi, Ong Chin Wen (Warisan) memperoleh 450 undi manakala Lee Ah Leong (PRM) pula memperoleh 148 undi.