GEORGETOWN - Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang gagal memenangi sebarang kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kekalahan paling besar dilihat berlaku di kerusi Kepala Batas apabila penyandang kerusi tersebut, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tewas kepada calon daripada Perikatan Nasional (PN), Dr Siti Mastura Mohamad dengan majoriti 2,867.
Kerusi Parlimen Kepala Batas merupakan kerusi legasi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dikuasai BN sejak 35 tahun lalu.
Selain Kepala Batas, BN juga tewas di kerusi Tasek Gelugor apabila calonnya, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor kalah kepada wakil PN, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan.
Pada PRU14 lalu, kerusi Parlimen Tasek Gelugor dimenangi calon BN (UMNO), Datuk Shabudin Yahaya dengan majoriti 81 undi selepas mendapat 18,547 undi menewaskan dua pencabarnya, Datuk Marzuki Yahya daripada PH (Bersatu) yang mendapat 18,466 undi dan calon Pas, Rizal Hafiz Ruslan (14,891 undi).
Pengerusi BN Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pihaknya menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka kerana rakyat sudah membuat pilihan mereka.
Walaupun sedih, Musa berkata, BN Pulau Pinang perlu menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat.
"Mereka memilih calon lain, itu hak mereka. Kita terima dengan hati yang terbuka. Kepada mereka yang sentiasa menyokong BN dan UMNO, terima kasih. Kami akan terus bekerja tanpa jemu dan tidak akan berhenti di sini," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Diminta mengulas mengenai kehilangan kerusi Kepala Batas, Musa yang juga Pengerusi UMNO Pulau Pinang berkata, Reezal sudah membuat yang terbaik.
"Semua orang tahu Reezal dah buat banyak 'kerja' di Kepala Batas dan hasilnya, semua orang nampak. Bagaimanapun, rakyat mahu calon parti lain untuk membela hak mereka. Kita hormat keputusan itu.
"Ini gelombang yang paling besar untuk BN Pulau Pinang. Saya merasakan, pengundi muda telah membuat pilihan baru dan itu adalah salah satu punca kekalahan. Bagaimanapun, jangan lupa dengan jasa Reezal, jasanya terlalu banyak di Kepala Batas," katanya.
Parlimen Kepala Batas menyaksikan pertarungan empat penjuru yang mana, Reezal Merican dicabar tiga calon dari parti lawan iaitu Hamidi Abu Hassan dari Pejuang, Siti Mastura dari PN dan Danial Abdul Majeed dari Parti Muda yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
Sementara itu, bagi kerusi Tasek Gelugor, ia menyaksikan pertarungan lima penjuru antara Wan Saiful (Bersatu) dengan Muhamad Yusoff (BN), Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan (PH), Mohamad Akmal Azhar (Warisan) dan Datuk Dr Abdul Halim Sher Jung (Pejuang).
Dalam pada itu, PH mengekalkan kemenangannya apabila berjaya memenangi 10 daripada 13 kerusi yang dipertandingkan.
Bekas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menang di kerusi Bagan manakala adiknya, Lim Hui Ying menang di kerusi Tanjong.
Penyandang kerusi Bukit Bendera, Ramkarpal Singh dan penyandang kerusi Jelutong, RSN Rayer menang bergaya di kerusi masing-masing.
Sementara itu, Pengerusi DAP Pulau Pinang yang juga Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menang di kerusi Batu Kawan dengan memperolehi 50,744 undi jauh mengatasi empat lawannya, Tan Lee Huat (BN) yang memperoleh 7,145 undi, Wong Chia Zhen (PN) mendapat 10,344 undi, Ong Chin Wen (Warisan) memperoleh 450 undi manakala Lee Ah Leong (PRM) pula memperoleh 148 undi.
Selain itu, PH turut menang di kerusi Bayan Baru yang dimenangi Sim Tze Tzin, Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera), Steven Sim Chee Kiong (Bukit Mertajam), Datuk Muhamad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau) and Fadhlina Sidek (Nibong Tebal).
Bagaimanapun, Nurul Izzah yang bertanding di atas tiket PH di Permatang Pauh gagal mempertahankan kerusi itu apabila tewas kepada calon PN, Muhammad Fawwaz Mat Jan.