Lebih 10 tahun diganggu babi

Iklan
Ishak (depan) menunjukkan kepada Faizul Amri antara habitat babi yang dikesan di salah sebuah kebun di Kampung Masjid, Parit Bunga.

TANGKAK - Masalah habitat babi yang semakin berleluasa di sekitar DUN Serom sejak lebih sedekad lalu nyata memberi ancaman buat penduduk.

Ketua Kampung Parit Bunga, Ishak Ahad berkata, keselamatan mereka bukan sahaja terancam, malah haiwan ini turut merosakkan tanaman penduduk hingga menyebabkan kerugian besar.

Iklan
Iklan

Katanya, habitat babi di kampung itu semakin berleluasa sejak 2006 selepas kejadian tsunami besar.

"Ramai yang tidak mengetahui babi sebenarnya pandai berenang. Di kampung Parit Bunga, bukan sahaja babi hutan yang menghuni, namun spesis dari Indonesia juga dikesan di mana fizikalnya berwarna seakan putih kemerahan.

Iklan

"Babi hutan di kampung berwarna hitam. Kita percaya babi dari negara seberang sampai ke sini kerana berenang merata-rata dan mencari habitat baru selepas tempat mereka musnah dalam kejadian tsunami,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Ishak, bagaimanapun, pertambahan jumlah haiwan itu mengundang masalah buat penduduk kampung.

Iklan

"Babi ini aktif pada waktu malam dan justeru, kelibatnya mudah dilihat berkeliaran selain melintas jalan secara tiba-tiba.

"Bayangkan dalam tempoh sebulan atau dua bulan sekali, pasti ada kes kemalangan menimpa penduduk sama ada terlanggar babi atau cubaan mengelak daripada haiwan itu sehingga terbabas ke tempat lain,” katanya,

Ishak berkata, selain itu, penduduk juga sukar melakukan aktiviti tanaman di kawasan masing-masing ekoran tanah kerap dibongkar babi.

Faizul Amri (tiga, kanan) bersama Ishak (dua, kiri) dan penduduk menunjukkan antara kebun di Kampung Masjid yang dipenuhi belukar menjadi habitat babi.

"Tanam ubi ke pisang habis tak menjadi. Mereka yang ada kebun lagi parah sebab kerugian teruk. Bagi yang mampu tu bolehlah pasang pagar, tapi untuk penduduk yang membuat kebun sendiri di belakang rumah terpaksa tanggung masalah ini.

"Selain kerap merosakkan tanaman, kelibat babi juga mudah dilihat di tebing sungai di sini kerana gemar berendam menyebabkan beberapa lokasi di kampung ini menjadi terhad kerana penduduk enggan pergi ke kawasan yang menjadi habitatnya,” katanya.

Jaga kebersihan kebun

Sementara itu, ADUN Serom, Dr Ir Faizul Amri Adnan berkata, pusat khidmat cakna terhadap laporan habitat babi di DUN itu.

Menurutnya, bagi mengurangkan jumlah haiwan yang semakin banyak, pihaknya bersama sebahagian penduduk kampung, Perhilitan Tangkak, anggota Rela serta PDRM bersama-sama menyertai Ops Cegah Musuh Tanaman membabitkan beberapa siri.

Katanya, pada siri pertama, sebanyak 33 ekor babi berjaya diburu dalam operasi di Kampung Kesang Laut, Tanjung Agas.

"Untuk siri kedua hari ini, habitat babi tidak sebanyak di Kampung Kesang dan justeru kita berjaya menembak 10 ekor babi. Meskipun tindakan ini tidak membantu melenyapkan masalah gangguan haiwan itu, namun kaedah ini sebagai mengurangkan jumlahnya agar ia menjadi sedikit terkawal.

"Saya menyeru kepada penduduk yang berhadapan masalah ini supaya menjaga kebersihan kebun dan tanah mereka. Jangan dibiarkan semak samun umpama hutan belantara kerana itulah yang akan mengundang habitat babi,” katanya.

Menurut Faizul Amri, babi sememangnya gemarkan kawasan semak samun tebal bagi berlindung dan dijadikan tempat tidur.

"Bila penduduk ada kesedaran untuk bersihkan kawasan masing-masing, saya percaya haiwan ini akan beredar dan mencari habitat baharu. Bagi saya, adalah lebih baik dicegah berbanding diubati. Macam operasi yang kita adakan hari ini dah parah sebab itu ia terpaksa diubati.

"Namun, selagi boleh bertindak, maka lakukanlah. Selain mengurangkan kecenderungan haiwan ini, ia sekaligus menjadikan persekitaran bersih dan sihat,” katanya.

Menurut beliau, operasi berkenaan tidak akan terhenti setakat itu dan pihaknya bersama agensi terlibat akan melakukan kaedah sama sekiranya menerima aduan dari penduduk selepas ini.

Aduan babi ketiga tertinggi di Johor

Dalam pada itu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor mengakui konflik babi hutan di negeri ini masih terkawal.

Pengarahnya, Salman Saaban berkata, aduan berkaitan babi hutan adalah ketiga tertinggi selepas aduan gajah dan kera.

Menurut beliau, pada 2018, Jabatan Perhilitan Johor merekodkan sebanyak 238 bilangan aduan ekoran ancaman babi.

"Pada sukuan pertama tahun ini, jabatan menerima sebanyak 32 aduan berbanding 63 aduan bagi tempoh sama tahun lalu sekali gus menunjukkan penurunan sehingga 49.2 peratus.

"Bagi masalah ini, pihak jabatan menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan tindakan sendiri dalam menangani masalah kacau ganggu babi kerana ia boleh mendatangkan bahaya atau berisiko diserang.

"Jika bertembung, elakkan melakukan provokasi atau cubaan untuk mengancam haiwan ini. Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya memastikan kawasan rumah atau kebun sentiasa bersih dan tiada semak-samun bagi mengelakkan hidupan liar ini tertarik ke kawasan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Salman menyarankan orang ramai untuk melaporkan perkara itu ke Pejabat Perhilitan Daerah yang terdekat bagi tindakan kawalan babi hutan.