KUALA PILAH - Bekas calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Kuala Pilah, Nor Azman Mohamad menerima dan menghormati keputusan rakyat yang telah memilih dengan penuh semangat demokrasi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.
Nor Azman berkata, walaupun tidak terpilih dalam pilihan raya kali ini, ruang khidmat dan bakti beliau masih terbuka luas untuk rakyat Kuala Pilah.
"Semoga wakil yang dipilih akan dapat menjalankan khidmat dan melaksanakan amanah sebaiknya demi rakyat Kuala Pilah.
"Ayuh kita pastikan rakyat Kuala Pilah terus dibela dengan amanah yang diberikan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan itu tewas apabila hanya memperoleh 14,940 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN) yang diwakili Timbalan UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan yang menang dengan 21,243 undi.
Turut bertanding di Parlimen Kuala Pilah ialah bekas penyandang kerusi itu, Datuk Eddin Syazlee Shith mewakili Perikatan Nasional yang memperoleh 11,560 undi, Kamarulzaman Kamdias dari GTA-Putra (406 undi) dan Datuk Azman Idris dari Parti Warisan (333 undi).
Dalam pada itu, Nor Azman meluahkan penghargaan dan terima kasih kepada 14,940 pengundi Kuala Pilah yang telah memberikan undi kepadanya.
"Terima kasih juga kepada seluruh jentera yang telah bertungkus lumus memastikan kelancaran gerak kerja kempen selama lebih dua minggu.
"Atas segala kudrat dan munajat saya serahkan kepada ALLAH untuk memberikan sebaik balasan. Mohon maaf atas segala kekurangan, kelemahan dan kesilapan yang saya lakukan sepanjang tempoh kempen," katanya.