PRU15: BN-UMNO perlu proses pemulihan segera

Iklan
Mohd Hairi Mad Shah

JOHOR BAHRU - Proses pemulihan serta rejuvinasi UMNO dan BN perlu dilakukan mulai sekarang bagi memastikan kedua-duanya kembali bangkit setelah mengalami kekalahan pada PRU15.

Perkara berkenaan ditegaskan Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah yang percaya UMNO dan BN berupaya bangkit dan kembali diterima oleh pengundi-pengundi muda pada masa akan datang.

Iklan
Iklan

"Keputusan PRU15 menyaksikan gelombang perubahan yang dibuat orang Melayu khususnya saluran-saluran anak muda dengan menolak UMNO dan BN dengan gelombang perubahan ini menyaksikan BN dikejutkan apabila hanya memenangi hanya sembilan kerusi Parlimen di Johor dan hanya 30 kerusi Parlimen di seluruh negara.

"Menyedari dan menerima hakikat angin perubahan yang berlaku ini, saya meminta barisan kepimpinan tertinggi parti untuk sama-sama bertindak segera melakukan rejuvinasi parti demi memastikan kelangsungan UMNO dan BN.

Iklan

"Tanpa perubahan dan usaha meneruskan kelangsungan ini, tidak mustahil UMNO dan BN akan terus ditolak dan tidak lagi menjadi pilihan pengundi dalam pilihan raya seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Untuk rekod PRU15 menyaksikan BN hanya memenangi sembilan kerusi di Johor selain langsung tidak memenangi kerusi di Melaka, Kelantan, Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Terengganu.

Iklan

Bagaimanapun, tambah Mohd Hairi yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, negeri berkenaan masih lagi berfungsi seperti biasa di bawah pentadbiran BN yang diterajui Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sementara itu ADUN Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, biarpun hanya memenangi sembilan kerusi Parlimen di Johor pada PRU15, namun kerajaan negeri akan tetap meneruskan tanggungjawab membantu rakyat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor itu, kerajaan negeri juga akan meneruskan tanggungjawab bagi memartabatkan syiar Islam di negeri ini.

"Allah telah menetapkan segalanya... kita wajib mensyukuri nikmat kemenangan yang telah dikurnia dan menginsafi kekalahan yang telah dialami.

"Ini juga merupakan satu proses rejuvenasi parti... kepada ALLAH SWT kita berserah... semoga ALLAH SWT mengampuni dosa-dosa kita bahkan menerima amalan kebaikan yang kita lakukan untuk umat dan masyarakat.

"Apa pun, usaha membantu rakyat akan kita teruskan, tanggungjawab memartabatkan syiar Islam akan tetap kita perkasakan dan mempertingkatkan ekonomi negeri dan negara juga keutamaan,” katanya.