PRU15: Kenderaan bawa Pengerusi SPR dilihat masuk Istana Negara

Iklan
Kenderaan yang membawa Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd Ghani Salleh dilihat memasuki pintu 2 Istana Negara jam 1.05 tengah hari pada Ahad.

KUALA LUMPUR – Kenderaan yang membawa Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd Ghani Salleh dilihat memasuki pintu 2 Istana Negara jam 1.05 tengah hari pada Ahad.

Namun setakat ini tiada sebarang pergerakan wakil atau pemimpin politik menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembahkan keputusan untuk pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Iklan
Iklan

Suasana di hadapan Pintu Utama Istana Negara tenang dengan pihak polis mengadakan kawalan keselamatan di susur masuk jalan menuju ke Istana Negara.

Puluhan pihak media hadir sejak pagi Ahad dan memenuhi ruang khemah disediakan di Pintu 1 dan Pintu 2.

Iklan

Terbaharu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad memberi jaminan kerajaan Persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat.

Beliau memaklumkan menerima kunjungan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada pagi Ahad berkenaan perkara itu.

Iklan

Jelasnya, rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan Ahli Parlimen Bebas.

Keputusan PRU15 mencipta sejarah buat negara apabila tidak ada satu pun gabungan parti yang mencapai majoriti mudah, atau menang 111 daripada 220 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Berdasarkan keputusan diumumkan SPR pada jam 4.30 pagi tadi, Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi, jumlah kerusi terbanyak mengatasi saingan terdekatnya, Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi.