BENTONG - Bekas Presiden MCA, Tan Sri Liow Tiong Lai tidak menyesal dengan keputusannya bertanding kerusi Parlimen Bentong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bekas Ahli Parlimen Bentong itu tewas dalam perebutan kerusi itu di tangan calon Pakatan Harapan (PH), Young Syefura Othman dengan majoriti tipis, 692 undi.
"Saya menerima keputusan P089 Bentong bagi Pilihan Raya ke-15 dengan hati yang tenang.
"Saya tidak menyesal keputusan untuk bertanding kerana matlamat saya jelas dan konsisten sepanjang karier politik saya, iaitu berjuang demi pembangunan dan kemajuan Bentong tercinta," katanya dalam status yang dimuat naik di Facebook miliknya pada Ahad.
Beliau juga menghargai dan mengucapkan terima kasih terhadap sokongan yang diberi kepadanya semasa kempen PRU15.
Ujar Tiong Lai, segala kata-kata galakan dan nasihat merupakan suntikan semangat yang besar serta setiap pelukan dan senyuman mendorong beliau untuk meneruskan perjuangannya.
Dalam pada itu, beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga MCA, jentera Barisan Nasional (BN) dan rakan-rakan yang menghulurkan bantuan sepanjang tempoh dua minggu ini.
"Namun, saya tidak diberi mandat untuk melaksanakan pelan-pelan pembangunan yang saya sediakan untuk Bentong," katanya.
Sementara itu, Tiong Lai juga mengucapkan tahniah kepada Young Syefura atas kejayaan beliau.
"Saya berharap agar beliau akan memberi tumpuan kepada menaik taraf kehidupan warga Bentong tanpa mengira kaum. Selamat bertugas. Semoga Bentong terus maju dan makmur," tambah beliau.
Untuk rekod, Tiong Lai memenangi kerusi Parlimen Bentong pada PRU12, PRU13 sebelum tewas pada PRU14 di tangan calon PH, Wong Tack dengan majoriti 2,032 undi.