Lagi gesaan Ahmad Zahid letak jawatan

Iklan
Ahmad Zahid - Foto Bernama

SHAH ALAM - Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menggesa agar Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertanggungjawab di atas kegagalan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dengan meletakkan jawatan sebagai presiden parti.

Tegas beliau, kegagalan itu jelas diterjemahkan melalui undi yang menunjukkan sentimen rakyat tidak menyukai presiden.

Iklan
Iklan

"Semenjak awal lagi saya telah menyuarakan beberapa perkara secara dalaman seperti jangan meletakkan calon payung terjun, kes mahkamah dan termasuklah keputusan memilih calon BN yang diubah disaat akhir menyebabkan BN gagal.

"Saya juga selalu menyeru agar Muafakat Nasional mesti dikekalkan kerana PRN Melaka dan Johor bukanlah penentu kekuatan BN dalam memenangi Pilihan Raya Umum kerana PRU sebenarnya jauh berbeza dengan PRN," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Ahad.

Iklan

Tambah Muqharabbin, UMNO wajar melihat dan menghargai Pas kerana kebangkitan parti selepas kecundang pada PRU14 lalu adalah kerana keberadaan dan kebersamaan dengan Pas sepanjang tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK).

Beliau mendakwa, BN kecundang kerana keangkuhan dan kesombongan untuk berjalan solo serta tidak mahu berubah dan mendengar pandangan akar umbi.

Iklan

"Ini yang sebenarnya menjadi kelemahan. 100 batang lidi lebih kuat berbanding sebatang lidi kerana 100 batang lidi mampu menyapu sampah dengan berkesan berbanding sebatang.

"Oleh yang demikian, wajarlah Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur dan pemilihan parti perlu diadakan segera bagi memberi mandat baru kepimpinan UMNO membuat perubahan yang sebenar benarnya," katanya.