PRU15: UMNO perlu kembali kepada perjuangan asal

Iklan
Halimah


JOHOR BAHRU - UMNO perlu melakukan perubahan besar dan kembali kepada landasan perjuangan asal demi kepentingan agama, bangsa dan negara bukan untuk kepentingan peribadi sehingga menghancurkan parti.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique menegaskan, kesucian UMNO tidak boleh lagi dicemarkan dengan pemikiran yang dangkal, tidak berasas dan tidak berprinsip hanya untuk kepentingan peribadi.

Beliau yang digugurkan daripada mempertahankan kerusi Parlimen Kota Tinggi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mahu semua Ketua Bahagian UMNO turut bertanggungjawab dan berani demi parti.

"Semua Ketua UMNO Bahagian juga perlulah menjadi seorang ketua yang ikhlas, bertanggungjawab dan kita sama-sama minta Presiden undur diri dan letak jawatan demi perjuangan serta masa depan parti," katanya dalam Facebook miliknya pada Ahad.

Beliau mahu UMNO kembali kepada perjuangan asal dan keutamaan parti adalah tertumpu kepada suara akar umbi yang mahukan sebuah institusi berupaya membawa suara serta nasib rakyat.

"Sebagai Bangsa Johor saya menyokong sepenuhnya apa yang dinyatakan oleh Menteri Besar Johor, Dato Onn Hafiz.

"Pendirian yang bersandarkan kepentingan agama, bangsa, negara dan UMNO ini mengatasi segala kepentingan peribadi mana-mana individu. UMNO tidak mampu dan tidak boleh lagi menanggung segala liabiliti individu dalam parti yang hanya meletakkan kepentingan peribadi.

"Dengan rasa penuh hormat, saya memohon Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi segera meletakkan jawatan," tegasnya lagi.

Halimah berkata, Ahmad Zahid harus berjiwa besar dan bertanggungjawab atas apa yang telah berlaku dengan meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan seperti dilakukan Datuk Seri Najib Razak pada 2018 apabila UMNO dan BN kalah pada PRU14.

Pada PRU15, Halimah antara yang calon yang digugurkan selain Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim (Parlimen Arau); Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (Ketereh); Timbalannya, Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar) serta Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara).