Realiti dan harapan di PRK Rantau

Iklan
Hari ini jadi penentu siapa pilihan pengundi DUN Rantau. - Foto Adam Amir Hamzah

TUMPUAN seluruh rakyat Malaysia hari ini pastinya terarah di DUN Rantau untuk menyaksikan siapa yang bakal diangkat sebagai wakil rakyat baharu di kawasan berkenaan.

Selepas tamatnya kempen selama 14 hari, keputusan kini hanya boleh ditentukan oleh 20,926 pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, empat orang pengundi tidak hadir luar negara dan selebihnya 118 pengundi awal dengan lapan daripadanya mengundi secara pos.

Iklan
Iklan

Pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN yang diwakili oleh Datuk Seri Mohamad Hasan; PH diwakili oleh Dr S Streram serta dua calon Bebas, R Malar dan Mohd Nor Yassin.

Namun realitinya, pertandingan kali ini hanya membabitkan pertembungan antara Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mat dan Streram, manakala dua lagi calon hanya sekadar 'penghias' kempen.

Iklan

Berdasarkan pemerhatian penulis, Tok Mat lebih menyerlah berbanding Streram yang terlebih dahulu dihimpit kontroversi apabila dirinya dianggap orang luar sehingga ditolak oleh penyokong PH sendiri.

Selain kelebihan anak tempatan dan bergelar ADUN Rantau selama tiga penggal, Tok Mat yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan pastinya mempunyai kelebihan sokongan berbanding Streram yang merupakan seorang pakar bius.

Iklan

Tampil dengan corak kempen tanda pagar #teamtokmat, beliau dilihat jauh lebih menyerlah dalam tempoh dua minggu berkempen bukan sekadar membawa nama parti tetapi figura Tok Mat sendiri yang begitu kuat.

Berbeza pula bagi Streram, beliau bukan sahaja bergelut untuk meraih sokongan penduduk tempatan khususnya orang Melayu yang merupakan majoriti di DUN itu, namun faktor tiada 'aura' hingga memaksa pemimpin pusat membantu kempen bagi pihaknya menjadi antara perkara dipersoal ramai.

Strategi PH yang menggunakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu kempen juga dikatakan tidak berjaya mengalih perhatian penduduk Rantau.

Permulaan kempen dilihat lancar namun memasuki minggu kedua suasana menjadi panas apabila kedua-dua calon utama saling berbalas serangan peribadi.

Bermula dengan isu Tok Mat membeli pangsapuri RM10 juta di London yang menggunakan perkhidmatan pengurup wang kira-kira 10 tahun lalu, diikuti pula gambar tular sebuah rumah mewah berkonsepkan Minangkabau di Seremban 2 yang dikatakan kepunyaan Timbalan Presiden UMNO itu.

Tempias sama turut terkena kepada Streram apabila tular sebuah rumah mewah dilengkapi kolam renang dikatakan bernilai lebih RM7 juta yang didakwa milik beliau.

Di sebalik pendedahan demi pendedahan itu, sokongan pengundi terhadap Tok Mat khususnya dilihat tidak begitu memberi kesan. Justeru, tidak hairanlah apabila ramai yang membuat jangkaan Tok Mat berjaya mempertahankan kerusi yang disandang sejak 2004 itu dengan kemenangan lebih selesa.

Jika benar apa yang diramal, kemenangan hatrik kepada BN selepas Cameron Highlands dan Semenyih pastinya akan memberi tamparan hebat kepada PH.

Kedudukan PH yang dianggap selesa apabila berjaya mengubah pentadbiran negara pada PRU14 tahun lalu perlu disemak semula.

Bagaimanapun, ramalan hanya sekadar ramalan tetapi keputusan tepat hanya dapat diketahui apabila selesainya proses pengiraan undi malam nanti.

Kepada pengundi DUN Rantau diucapkan selamat mengundi dan buatlah pilihan bijak.

* Nurul Huda Husain ialah wartawan yang membuat liputan PRK DUN Rantau sejak 28 Mac lalu.