Gesa rundingan bentuk kerajaan berasaskan dasar, undang-undang

Iklan
Dr Tricia Yeoh

SHAH ALAM - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa agar rundingan gabungan-gabungan parti dalam membentuk kerajaan Persekutuan dilakukan berasaskan dasar dan undang-undang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Tricia Yeoh berkata, usaha tu penting bagi menangani aspek pembaharuan ekonomi dan institusi masa hadapan negara.

Iklan
Iklan

Ujar beliau, agenda membentuk kerajaan campuran itu penting dan semua pihak perlu berwaspada terhadap penggunaan politik wang dalam proses berkenaan, parti politik yang lebih kecil harus bijak menggunakan kedudukan dan kuasa penentu mereka.

"IDEAS memperakui bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah menghasilkan keputusan Parlimen tergantung apabila tiada mana-mana gabungan parti yang berjaya memenangi majoriti mudah.

Iklan

"Ketika gabungan-gabungan parti ini sedang berunding sesama sendiri untuk membentuk kerajaan persekutuan, IDEAS menggesa agar rundingan ini dilakukan berasaskan dasar dan bukannya pengagihan pelantikan bersifat naungan.

"Malah, undang-undang penting seperti Akta Pendanaan Politik, Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan, Akta Perkhidmatan Parlimen, Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perolehan Kerajaan adalah lebih mendesak berbanding sebelum ini, maka kami menantikan untuk melihat parti-parti politik menyatakan pendirian mereka terhadap semua perundangan ini yang benar-benar boleh mengubah pentadbiran,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Dalam pada itu, ulas Tricia, pihaknya turut memberi amaran terhadap isu kaum dan agama yang digunakan secara politik oleh kerajaan bakal dibentuk.

Menurutnya, terdapat beberapa mesej berunsur perkauman yang mungkin telah melanggar nilai asas perpaduan dan keharmonian negara semasa tempoh berkempen.

"IDEAS berharap pengakhiran kepada proses ini akan memberikan kestabilan politik dan ekonomi yang amat diperlukan oleh negara dalam membuat keputusan dasar serius untuk masa depan dalam tempoh lima tahun akan datang,” ujarnya.

Selain itu, IDEAS juga memuji sebahagian besar mesej antirasuah yang diberikan ketika kempen PRU15.

"Kami menantikan untuk melihat perancangan kukuh berikutan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang akan tamat tempohnya pada tahun 2023.

"Jelas sekali, bipartisan dalam mana-mana kerajaan akan datang akan memastikan hasil yang paling optimum apabila memperjuangkan tadbir urus yang baik, antirasuah dan pembaharuan institusi,” jelasnya.