Biar BN kekal sebagai pembangkang berintegriti: Megat Zulkarnain

Iklan
Megat Zulkarnain

GOMBAK - Barisan Nasional (BN) perlu kekal sebagai pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang bagi kepentingan rakyat.

Pandangan itu dikemukakan Ketua UMNO Bahagian Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menerusi kemas kini di Facebook beliau pada Ahad.

Iklan
Iklan

"Secara peribadi saya berpendapat biarlah BN kekal sebagai pembangkang yang berintegriti dan menjadi suara rakyat serta melakukan semak imbang untuk kepentingan rakyat," katanya.

Pada Ahad, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah menitahkan gabungan parti-parti politik yang dipersetujui perlu mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10 kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang Isnin.

Iklan

Ia selepas tiada mana-mana parti berjaya memperoleh majoriti lebih 50 peratus daripada keseluruhan jumlah 219 kerusi dipertandingkan bagi peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain yang turut bertanding di Parlimen Gombak pada PRU15 akur dengan keputusan rakyat yang memilih Datuk Seri Amirudin Shari dari Pakatan Harapan (PH) sebagai Ahli Parlimen Gombak yang baharu.

Iklan

Beliau berterima kasih kepada penyokong yang telah memberi undi kepadanya dan menghargai kepercayaan yang telah diberikan.

"Jutaan terima kasih juga buat semua jentera BN Gombak yang telah bertungkus lumus membantu saya. Hanya ALLAH SWT dapat membalas segala pengorbanan dan penat lelah kalian semua.

"Kepada rakyat Gombak yang dikasihi, saya akan terus berada dan berkhidmat di bumi Gombak yang bertuah ini. Boleh jumpa saya di kompleks silat saya," ujarnya.

Megat Zulkarnain juga mengucapkan tahniah kepada Amirudin atas kejayaan menawan Gombak dan berharap Pengerusi PH Selangor itu dapat melaksanakan tugas sebagai ahli Parlimen dengan baik.

PRU15 menyaksikan Amirudin berjaya menewaskan empat pencabar lain termasuk penyandang selama tiga penggal, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan majoriti 12,729 undi.

Beliau memperoleh 72,267 undi diikuti Mohamed Azmin (PN) dengan 59,538 undi, Megat Zulkarnain (30,723), Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir (Pejuang) 2,223 undi dan Ir Zulkifli Ahmad (Bebas) 675 undi.