KUALA LUMPUR - Kira-kira 10 kenderaan menggunakan nombor pendaftaran Sabah dilihat memasuki kediaman Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara di sini sebentar tadi.
Kehadiran kenderaan yang dipercayai membawa pemimpin dari Sabah berkenaan selang sejam selepas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersama beberapa pimpinan partinya keluar meninggalkan kediaman Ahli Parlimen Pagoh itu.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan dengan jelas kenderaan secara konvoi itu membawa pemimpin mana.
Kediaman Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara di sini menjadi tumpuan media sejak tengah hari Ahad.
Ia bagi menantikan perkembangan pembentukan kerajaan baharu yang masih lagi tergantung.
Sinar Harian difahamkan Abdul Hadi dan Muhyiddin akan mengadakan perbincangan lanjut pada jam 3 petang.
Pada awal pagi Ahad, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan tiada mana-mana parti politik memperoleh majoriti 50 peratus daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada PRU15 untuk membentuk kerajaan.
Berdasarkan keputusan rasmi itu, Pakatan Harapan memperoleh 76 kerusi; Perikatan Nasional (51); BN (30); Gabungan Parti Sarawak (22); Pas (22); Gabungan Rakyat Sabah (enam) dan Warisan (tiga).
Selain itu, Parti Ikatan Demokratik (Muda) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) masing-masing satu dan Bebas, dua.