JELEBU - Berpaksikan 'track record', sebuah 'unity government' tanpa Pakatan Harapan (PH) harus dibentuk untuk menerajui kerajaan Malaysia pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, asas utama penolakan terhadap PH adalah atas kegagalan pentadbiran negara pada PRU14 lalu.
"Perkara ini sewajarnya menjadi ‘collective responsibility’ dalam kalangan Ahli-ahli Dewan Rakyat BN, Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuangan Tanah Air (Pejuang), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Bebas dan lain-lain.
"Secara terbuka, saya mengambil sikap berjiwa besar dan matang dalam kolektif politik untuk mencadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri atas kerangka bahawa PN memiliki jumlah kerusi kedua tertinggi dalam Dewan Rakyat selepas PH," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
"Kita menerima keputusan PRU15 ini dengan penuh kematangan dan keputusan BN yang hanya mampu menang di 30 kawasan Parlimen.
"Dalam situasi ini, tiada satu parti pun yang beroleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.
"Namun demikian, kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara ini harus diteruskan dengan dipimpin oleh sebuah kerajaan yang stabil dan berpengalaman," katanya.