Motosikal retro gegar Parit Raja

Iklan
Pemilik motosikal retro yang hadir Parit King Retro di Dataran Parit Raja.

BATU PAHAT – Jika sebut sahaja motosikal, ramai mengaitkan dengan kaki rempit, lumba haram dan sebagainya, namun pada hakikatnya banyak aktiviti berfaedah dapat dilakukan dengan kenderaan tersebut.

Antaranya motosikal ‘retro’ atau motosikal lama yang dijadikan hobi oleh pemiliknya dan motosikal yang popular akhir 1970-an dan awal 1980-an ketika ini masih mempunyai penggemarnya sendiri bukan sahaja golongan berusia malah generasi muda.

Iklan
Iklan

Ini kerana kenderaan itu mempunyai keistimewaan tersendiri dengan keunikan reka bentuknya selain sarat dengan nilai nostalgia bagi sesetengah orang selain berperanan untuk mengeratkan perhubungan bagi peminat motosikal retro ini.

Atas inisiatif tersebut, Kelab Permotoran Retro Parit Raja tampil dengan idea untuk menghimpunkan pemilik motosikal retro dari seluruh negara pada Parit King Retro di Dataran Parit Raja, di sini, baru-baru ini.

Iklan

Pengerusi Kelab Permotoran Retro Parit Raja, Md Juhari Ismail berkata, idea menghimpunkan pemilik motosikal retro setelah semua ahli berhimpun buat kali pertama pada empat tahun lalu.

"Pada tahun ketiga program ini diadakan pada tahun ini, saya tak sangka ia dapat sambutan menggalakkan sehingga berjaya menghimpunkan 1,500 pemilik motosikal retro.

Iklan

"Lebih menarik lagi pada perjumpaan kali ini, selain berjaya menghimpunkan pemilik motosikal tempatan, kami berjaya menarik minat pemilik motosikal dari Thailand dan Singapura yang sanggup datang ratusan kilometer ke sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, antara jenis-jenis motosikal yang dipamerkan di dalam program tersebut ialah Honda C70, Yamaha RX-S, Yamaha Enduro 125, Yamaha RD350 LC, Yamaha RX-Z, Suzuki GP125, Honda Raider HX 135 dan Suzuki Gamma.

Jadi medan erat perhubungan

Katanya, program tersebut tidak saja mengumpulkan motosikal retro, malah acara berkenaan juga menjadi medan buat pemilik motosikal lama itu bertukar pendapat mengenai penyelenggaraan, selain sumber untuk mendapatkan alat ganti.

"Bagi menjadikan penganjuran kali ini lebih meriah dan sentiasa ada kelainan konsep daripada acara terdahulu, kami juga mengadakan pameran barangan serta aktiviti yang berkaitan dengan zaman kegemilangan retro.

"Antaranya basikal BMX yang pernah menjadi kegilaan anak muda pada zaman berkenaan, pakaian rock kapak, koleksi poster dan pelekat motosikal, sut pelumba dan turut mendapat sambutan dari penduduk tempatan,” katanya.

Salah seorang peserta bersama jentera retronya.

Menurutnya, konsep pertemuan yang diadakan ini adalah lebih kepada santai dan berkongsi pengalaman serta ada di antara pemilik motosikal retro ini bertukar-tukar koleksi yang mereka miliki.

Katanya, selain itu beberapa pertandingan semasa program ini turut diadakan seperti hiasan paling kreatif, motosikal paling cantik, dan juga pertandingan lain selain menghargai peserta yang datang dari jauh.

"Pada masa sama, kami merancang agar aktiviti seperti ini untuk dijadikan acara tahunan, selain orang ramai dapat mengetahui program yang dirancang selepas ini, terutamanya yang berkaitan dengan motosikal retro.

"Selain itu, kami akan mengadakan kerjasama dengan beberapa kelab motoisikal retro yang lain dan mereka juga bakal mengadakan program yang sama seperti yang kami anjurkan ini,” katanya.

Sanggup berbelanja besar untuk motosikal

Sementara itu bagi pemilik motosikal retro Honda C50, Azmi Awang, 56, berkata, dia sanggup mengeluarkan wang simpanannya sebanyak RM30,000 semata-mata untuk membaiki dan menghias motosikal klasik Honda C50 serta C70 miliknya.

Dia yang berasal dari Segamat berkata, sebelum ini dia pernah menerima tawaran daripada ramai individu yang mahu membeli motosikal itu pada harga tinggi, namun menolaknya kerana menyayangi jentera berkenaan.

"Jika ditawarkan RM1 juta sekali pun, saya tidak akan menjual kedua-dua motosikal ini kesayangan saya tambahan pula kedua-duanya masih boleh ditunggang dan saya memang tidak akan menjualnya.

"Walaupun segelintir masyarakat menganggap hobi saya ini tidak bersesuaian dengan usia saya, namun hakikatnya ia membina sifat positif seperti disiplin dalam memelihara koleksi antik yang sememangnya sukar untuk dipelihara,” katanya.