Ibu Pejabat UMNO lengang

Iklan
Situasi lengang di Ibu Pejabat UMNO, WTC ekoran Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadualkan pada jam 8 malam Ahad ditangguhkan.

KUALA LUMPUR - Situasi di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) lengang ekoran Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadualkan berlangsung pada jam 8 malam dibatalkan.

Sehingga jam 9.45 malam, Sinar Harian mendapati tiada kelibat pemimpin BN hadir ke bangunan berkenaan.

Iklan
Iklan

Yang kelihatan cuma beberapa petugas media yang telah membuat liputan sejak tengah hari dan menunggu seandainya mesyuarat tersebut tetap diadakan.

Pada jam 12 tengah hari berlangsung Mesyuarat Khas Biro Politik UMNO dan Pengerusi Perhubungan Negeri dan mengikut jadual dua lagi mesyuarat penting akan menyusul.

Iklan

Bagaimamanapun, Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusof mengesahkan mesyuarat Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijadualkan dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada jam 3 petang ditangguhkan.

Hanya beberapa petugas media yang masih kelihatan di Ibu Pejabat UMNO pada malam Ahad.

Selain itu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon turut mengesahkan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN juga ditangguhkan.

Iklan

Susulan penangguhan itu, Sin Woon berkata, MCA terkejut dan kecewa serta mendesak Ahmad Zahid agar meletak jawatan sebagai Pengerusi BN.

Ia kerana mesyuarat berkenaan sangat penting terutama untuk membincangkan pendirian gabungan parti tersebut dalam mewujudkan kerajaan dengan parti lain pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan PRU15 menyaksikan Parlimen tergantung apabila tiada gabungan parti yang memiliki majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu.

Mengikut keputusan rasmi PRU15 yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) 73 kerusi dan BN 30 kerusi.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula memperoleh 22 kerusi, Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi, Parti Warisan (tiga kerusi), Bebas (dua kerusi) dan Parti Bangsa Malaysia (satu kerusi).

Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada petang Ahad dilaporkan bersetuju membentuk kerajaan persekutuan menerusi kerjasama dengan tiga lagi gabungan iaitu PN, BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata keputusan membentuk kerajaan campuran itu dibuat demi mengukuhkan dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat.

Bagaimanapun, sehingga kini BN masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi tentang kerjasama berkenaan.