JDT menepati ramalan mara ke final TM Piala Malaysia 2022 apabila menewaskan Sabah FC 3-1 di Stadium Sultan Ibrahmi, Iskandar Puteri sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan itu mara dengan agregat 4 -1 hasil kemenangan 1-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu, 15 November lalu.
JDT bermula garang sebaik wisel permulaan dengan mengasak ke gawang lawan masing-masing dalam usaha membuka jaringan.
Bagaimanapum, percubaan-percubaan berkenaan dilihat gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan Sabah FC.
Minit ke-17 menyaksikan JDT hampir membuka jaringan namun Natxo Insa gagal menanduk tepat biarpun pintu gol Sabah FC sudah terbuka luas.
JDT sekali lagi memiliki peluang keemasan untuk meledak gol pembukaan pada minit ke-24, namun rembatan tonggak import, Bergson da Silva berjaya diselamatkan penjaga gol Sabah FC, Damien Lim.
Skuad Harimau Selatan itu bagaimanapun berjaya membuka jaringan pada minit ke-34 apabila Bergson bijak melepasi kawalan pertahanan Sabah FC sebelum menanduk masuk menewaskan Damien.
JDT menambah gol kedua menerusi Fernando Forestieri yang merembat deras untuk menewaskan Damien pada minit ke-41.
Biarpun mendahului 2-0, namun skuad Harimau Selatan itu dilihat masih mengasak hebat ke gawang pelawat bagi menambah jaringan namun tiada jaringan berjaya dihasilkan hingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, Sabah FC tidak perlu menunggu lama untuk merapatkan jurang gol apabila pemain import Taiki Kagayama menjaringkan gol pertama pelawat pada minit ke-47.
Gol itu dilihat mula menyemarakkan semangat kesebelasan Sabah FC untuk mengasak hebat ke gawang tuan rumah dalam menambah jaringan.
Bagaimanapun, asakan-asakan berkenaan berjaya dikekang benteng pertahanan JDT sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan itu turut melancarkan asakan-asakan balas ke gawang lawan bagi menambah jaringan.
JDT berpeluang menambah jaringan pada minit ke-90, namun pemain gantian, Safawi Rasid gagal menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan.
Bagaimanapun, kegagalan itu ditebus oleh seorang lagi pemain gantian skuad Harimau Selatan, Syafiq Ahmad apabila berjaya meledak gol keempat pada masa kecederaan.
Minit-minit terakhir perlawanan Sabah FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pemain pertahanan Gerald Gadit dilayangkan kad kuning kedua sejurus sebelum wisel penamat.
JDT – Farizal Marlias (kapten), Matthew Davies, Afiq Fazail, Bergson da Silva, Nazmi Faiz Mansor, Corbin-Ong, Natxo Insa, Shahrul Saad, Arif Aiman Hanapi, Fernando Forestieri, Jordi Amat
SABAH FC – Damien Lim, Rawilson Batuil (kapten), Gerald Gadit, Taesu Park, Farhan Roslan, Taiki Kagayama, Mohd Badrul Affendy Mohd Fadzli, Mohd Amri Yahyah, Dominic Tan, Saddil Ramdani, Mohamad Sahrizan Saidin
PENGADIL – Muhammad Nazmi Nasaruddin