Pekerja p-hailing semakin terhimpit

Iklan
Pendapatan penghantar makanan kini didakwa semakin merosot dan tidak setimpal. - Gambar hiasan, gambar kecil dari kiri: Mohd Insan, Mohd Hafidz, Sabaruddin

KETIKA Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan akibat pandemik Covid-19, ramai yang menjadi penghantar makanan atau p-hailing demi kelangsungan hidup.

Pendapatan mereka pada waktu itu boleh dikatakan lumayan kerana permintaan tinggi terhadap perkhidmatan p-hailing. Namun, kebelakangan ini, pendapatan pekerja ekonomi gig ini didakwa semakin merosot dan tidak setimpal.

Iklan
Iklan

Apa Khabar Rakyat kali ini menyelami luahan golongan yang semakin terhimpit ini.

Pendapatan penghantar makanan atau p-hailing semakin merundum dan tidak semewah ketika sektor itu mula diperkenalkan di Malaysia.

Iklan

Penghantar makanan, Mohd Hafidz Mohd Ali, 38, berkata, pendapatannya boleh mencecah hingga RM4,000 sebulan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu namun kini merosot teruk.

"Pendapatan sebagai penghantar makanan ketika PKP agak lumayan tapi sekarang untuk dapatkan RM2,000 sebulan pun payah walaupun bekerja dari pagi hingga malam," luahnya.

Iklan

Tambah Mohd Hafidz, situasi itu membuatkannya berfikir untuk mencari pekerjaan lain kerana tidak mahu bergantung sepenuhnya dalam sektor tersebut.

"Saya sudah mohon kerja di beberapa tempat lain tapi belum berjaya. Susah untuk kerja lain sekarang kerana keadaan ekonomi yang tidak berapa baik dan tidak banyak syarikat mahu mengambil pekerja yang sudah berumur 35 tahun ke atas seperti saya," katanya.

Seorang lagi penghantar makanan, Sabaruddin Sabri, 34, berkata, dia yang sebelum ini bekerja sebagai bilal masjid mengambil keputusan untuk menjadi penghantar makanan sepenuh masa disebabkan masalah kesihatan.

"Saya pernah dijangkiti Covid-19 tahap empat dan mempunyai gejala berterusan yang menyebabkan saya tidak boleh bekerja berat dan cepat letih.

"Kebiasaannya saya akan keluar bekerja selepas solat Isyak hingga ke lewat malam. Pendapatan bulanan dianggarkan antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan," ujarnya.

Sabaruddin turut berharap agar penghantar makanan diberikan taraf pekerja tetap bagi membolehkan mereka menerima lebih banyak manfaat daripada syarikat perkhidmatan tersebut.

"Saya pasti ramai penghantar makanan yang tidak mengambil berat isu caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang akhirnya apabila berlaku kemalangan, tiada pihak yang mahu bertanggungjawab.

"Dengan menjadikan kami sebagai pekerja tetap, lebih banyak manfaat dapat diperoleh seperti kad kesihatan dan gaji tetap di samping kebajikan kami turut dijaga," katanya.

Guru sekolah agama, Mohd Insan Zainal Abidin, 31, berkata, kos sara hidup meningkat menyebabkannya tidak boleh bergantung kepada satu pekerjaan sahaja.

Ujarnya, penghantar makanan adalah kerja ketiga yang dilakukan selepas kerja sambilan yang dibuat sebelum ini terjejas ketika PKP.

"Kerja sebagai penghantar makanan ini tidak semewah ketika PKP lalu kerana tempahan sudah kurang dan kadar bayaran asas yang diberikan syarikat telah diturunkan.

"Jika dulu nak capai RM100 boleh dibuat dalam beberapa jam sahaja tapi kini tempoh bekerja terpaksa dipanjangkan untuk capai sasaran tersebut," katanya.

Dia mengakui, sektor tersebut dilihat semakin suram apabila ramai rakannya telah 'menggantung beg' dan mencari pekerjaan baharu disebabkan pendapatan yang tidak setimpal.

"Saya harap pengendali perkhidmatan tersebut boleh melabur untuk menaik taraf sistem mereka kerana adakala kami berdepan masalah tuntutan bayaran bagi jarak jauh. Setiap sen bagi setiap jarak sangat bernilai kepada kami.

"Saya mungkin tidak terlalu terkesan kerana ada pendapatan lain tetapi bagi yang bergantung penuh dengan pendapatan ini mungkin tertekan dan perlu dibantu," katanya.

Jelas Mohd Insan, ekonomi gig adalah satu keperluan dan berharap kerajaan boleh melakukan sesuatu untuk memastikan sektor itu kekal relevan dan menjadi salah satu penyumbang ekonomi negara untuk jangka masa panjang.

Perkenal dasar ekonomi gig, bela nasib p-hailing

Sementara itu, kerajaan perlu meneliti untuk menyediakan dasar khusus bagi memastikan sektor ekonomi gig dan p-hailing kekal releven untuk jangka masa panjang.

Presiden Penggerak Belia Selangor (PeBS) Selangor, Muhammad Akmal Abdul Halim berkata, sektor ekonomi gig perlu dipantau menerusi penetapan dasar demi menjaga nasib pekerja sektor tersebut bagi mengelak monopoli syarikat perkhidmatan.

"Bagi tujuan tersebut, negara perlu mempunyai kerajaan yang stabil bagi menjaga kebajikan rakyat dalam segala sektor.

Muhammad Akmal

"Pada masa sama, kerajaan negeri juga boleh memainkan peranan menyediakan kemudahan bersesuaian bagi manfaat pekerja sektor tersebut.

"Contohnya di Selangor apabila Gombak bakal disediakan R&R (Rehat&Rawat) khusus untuk kumpulan penghantar makanan yang pada saya ia boleh juga dimanfaatkan sebagai pusat aktiviti mereka," katanya.

Penghantar makanan hadir pada program Inisiatif Skim Roda Darul Ehsan (RiDE) anjuran kerajaan negeri Selangor pada Ahad lalu.

Ujarnya, ekonomi yang tidak menentu menjadi faktor anak muda menjadikan p-hailing sebagai pekerjaan tetap kerana ia dianggap cara mudah memperoleh pendapatan.

Bagaimanapun katanya, perlu ada alternatif lain bagi mengelak kebergantungan sepenuhnya dalam sektor tersebut melalui penyediaan peluang pekerjaan.