PN yang bukan lagi ‘underdog’

Iklan
Bendera Perikatan Nasional (PN) menghiasi di bahu jalan sempena kempen PRU15. Foto: Bernama

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) yang baru berlangsung pada Sabtu sedikit sebanyak menjawab persoalan tentang pihak manakah yang menjadi pilihan di hati rakyat.

Kejayaan Perikatan Nasional (PN) memenangi sebanyak 73 kerusi di Parlimen sekali gus membuktikan bahawa gabungan itu yang mempunyai nilai konservatif diterima baik oleh kebanyakan pengundi.

Iklan
Iklan

Meskipun terdahulu ada pihak yang menjangkakan Pakatan Harapan (PH) mampu ‘kembali’ ke Putrajaya namun saingan PN kini dalam merebut tampuk pemerintahan dilihat sedikit sebanyak menggugat harapan tu.

Kemenangan PN membawa satu rekod baharu dalam era demokrasi negara yang selama ini banyak tertumpu kepada soal sokongan terhadap BN dan PH.

Iklan

Bukan itu sahaja, PN juga berjaya merampas banyak kerusi Parlimen BN dan PH sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Di peringkat Parlimen, antara kerusi gabungan berkenaan yang berjaya ditawan PN adalah seperti Jerantut, Maran, Arau, Gerik, Kangar dan Kuantan serta Alor Setar.

Iklan

Manakala di peringkat DUN pula, PN dilihat berjaya mengambil alih kerusi di Pahang dan Perlis.

Banyak faktor yang boleh dijadikan indikator atas kemenangan tersebut jika ditelusuri lebih mendalam.

Antaranya seperti kempen gabungan berkenaan dalam menarik undi yang terkedepan berbanding gabungan lain.

Kempen PN bukan sahaja melibatkan aktiviti seperti ceramah dan turun padang di kawasan-kawasan tertentu tetapi turut menggunakan platform media sosial yang sudah pastinya memiliki banyak pengguna terutama pengundi generasi muda berjumlah sekitar 5 ke 6 juta.

Jika ditinjau, kempen di media sosial digerakkan habis-habisan yang sudah pasti dapat memberi satu respons positif lebih ‘segar’ terhadap PN.

Ditambah pula PN yang mempunyai imej bersih yang dapat menarik kepercayaan pengundi.

Pada masa yang sama, persepsi kebanyakan anggota masyarakat yang masih belum dapat menerima BN kembali memegang mandat pentadbiran turut menjadi faktor.Walaupun gabungan itu dilihat mempunyai banyak persamaan dengan PN daripada aspek pemikiran dan visi, namun masalah integriti melibatkan pimpinan tertinggi BN membuatkan rakyat masih tidak sudi untuk memberikan mereka peluang sekali lagi.

Ia ditambah lagi dengan gelombang pada PRU14 yang mana telah menanamkan satu kesedaran baharu kepada rakyat bahawa mereka mampu mengubah kepimpinan negara.

Selain itu, krisis dalaman pimpinan BN sedikit sebanyak memberi kredit kepada PN untuk menggantikan penyandang di kebanyakan kerusi sama ada di Parlimen atau DUN.

Contoh mudah yang dapat diperhatikan apabila Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang bertanding atas tiket PN.

Ia disebabkan namanya tidak dicalonkan mewakili BN di Parlimen itu yang didakwa berpunca daripada perbezaan pendapat antara beliau dan pimpinan gabungan itu.

Tindakan BN itu sudah pasti menjadi satu langkah yang memberikan kesan dahsyat dalam sejarah mereka di Perlis kerana Shahidan merupakan individu yang sangat disegani dan berpengaruh oleh kebanyakan rakyat negeri itu.

Ia sehinggakan terdapat penganalisis politik yang mengumpamakan ‘Perlis itu adalah Shahidan dan Shahidan adalah Perlis’.

Kebetulan pula Perlis yang terletak bersebelahan dengan Kedah yang juga mempunyai banyak kerusi berstatus ‘boleh menang’ kepada PN sedikit sebanyak menjadi satu double kill buat BN di sekitar utara selepas mereka juga tidak mempunyai harapan untuk menawan kerusi di Kelantan dan Terengganu.

Oleh itu, dapat disimpulkan banyak situasi-situasi di negara kini menjadi satu buah ‘tuah’ buat gabungan PN tersebut sekali gus menjadikan mereka bukan lagi ‘underdog’ seperti sebelum ini.

Bagaimanapun, sama ada PN berjaya membentuk kerajaan atau tidak, masih panjang perjalanan yang harus ditempuhi gabungan itu terutama untuk memenangi hati rakyat.

Ini kerana, undi rakyat kini bukan lagi bersifat tertumpu kepada sesebuah parti dan mereka lebih bersifat ‘atas pagar’.

Maka, tindakan kompeten dan karismatik adalah cabaran yang harus diterjemahkan dengan baik oleh setiap ahli Parlimen dan ADUN gabungan itu dalam menjaga kepentingan rakyat.

* Mohamad Amreel Iman Abd Malek ialah wartawan Sinar Harian