PM ke-10 perlu tangani isu utama belenggu rakyat, negara

Iklan
Ahmad Jufliz

SHAH ALAM - Parti Rakyat Malaysia (PRM) berharap Perdana Menteri yang bakal dilantik kelak dapat menyelesaikan soal-soal utama yang menghimpit rakyat dan negara.

Naib Presidennya, Ahmad Jufliz Faiza berkata, antaranya kenaikan harga barang dan perkhidmatan, pertambahan kumpulan B40 kepada B60 dan kemiskinan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, juga mengenai kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), pengangguran, pembiayaan dan aktiviti ekonomi yang terus berasaskan hutang dan faedah.

"Ini termasuk bajet negara yang berpuluh tahun defisit dengan hutang sudah mencapai lebih RM1 trillion dan dalam soal polisi kesihatan awam yang salah dan melanggar hak asasi terutamanya dalam isu pandemik Covid 19.

Iklan

"Termasuk juga pemaksaan untuk menerima vaksin Covid-19 yang menyebabkan peningkatan kadar kematian, cacat kekal dan kesan sampingan yang serius kepada penerima vaksin Covid-19," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, PRM melihat rakyat dan negara masih terbelenggu dengan dasar imperialisme dan kolonialisme dalam bentuk hutang melalui sistem neo-liberalisme yang berpaksikan kepada wang fiat, sistem perbankan dan ekonomi hutang berasaskan riba.

Iklan

Menurutnya, tiada kemerdekaan yang sebenarnya dan tiada keadilan sosial bagi rakyat selagi sistem hutang riba ini masih jadi nadi jantung kepada pertumbuhan negara dan dunia amnya.

"Inilah cabaran bakal Perdana Menteri dan kerajaan yang akan ditubuhkan nanti bagaimana dasar fiskal dan monetari negara dapat memberi pertumbuhan ekonomi sebenar bagi mencapai kemakmuran dan perpaduan di kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama," katanya.

Dalam pada itu, beliau dan keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua tim dan rakan-rakan di seluruh Sungai Buloh yang mengundi dan menyokong serta mencadangkannya bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15.