Kedah tetap tidak bubar DUN sebelum Mac: MB

Iklan
Muhammad Sanusi - Foto Bernama

ALOR SETAR - Kedah kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum Mac depan walaupun Perikatan Nasional (PN) berada dalam momentum terbaik berbuat demikian selepas memenangi 13 kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembubaran DUN Kedah hanya akan dilakukan pada bila-bila masa selepas Mac tahun hadapan.

Iklan
Iklan

"Kita tidak mahu buat pilihan raya sekarang kerana banjir dijangka berlaku antara November hingga Mac, jadi selepas bulan Mac nanti, bila-bila sahaja pembubaran DUN boleh dilakukan. Kalau tidak dilakukan dalam tempoh itu, ia akan ‘luruh’ sendiri pada Julai tahun hadapan.

"Kita kena ambil kira semua aspek kerana peralihan monsun, banjir ini berakhir Mac dan selepas itu kita akan berpuasa, sambut Aidilfitri dan Aidiladha pula. Selain itu, saya kena berbincang dengan Kelantan dan Terengganu dahulu, buat sekali barulah ‘syok’ sikit,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan membubarkan DUN Kedah berikutan PN dalam momentum yang terbaik selepas memenangi 13 daripada 14 kerusi Parlimen yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya, semalam.

Terdahulu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah menghadiri Majlis Kesyukuran PN bersama semua Ahli Parlimen PN yang baharu dipilih di Kedah yang turut disertai ribuan penyokong parti itu di Kompleks PAS, Kota Sarang Semut, dekat sini. - Bernama

Iklan