PENYERANG Poland, Robert Lewandowski meminta rakan sepasukannya agar berwaspada dengan ancaman yang akan diberikan Mexico menjelang aksi pembukaan Kumpulan C awal pagi Rabu.
Penyerang Barcelona itu berkata, meskipun dia percaya pasukannya mampu merakam kemenangan pada aksi Rabu ini, namun ia bukanlah 'tiket' buat mereka untuk memandang rendah dan beraksi dengan sambil lewa pada perlawanan terbabit.
Jelas Lewandowski, dia percaya pasukan El Tri itu mempunyai kelebihan tersendiri yang mampu menyebabkan pasukannya berputih mata untuk meraih tiga mata penuh.
"Mexico sudah tentu akan cuba untuk menyusahkan pada perlawanan pembukaaan ini. Seperti kita tahu perlawanan pembukaan amat penting kerana kerana kalau kita menang, ia akan memberi keyakinan kepada semua pemain.
"Kami tahu potensi Mexico, kami akan memberi saingan dan kami mahu menang. Pemain Mexico memiliki kualiti, pemain sayap pertahanan mereka juga baik, jadi kami perlu menyekat serangan itu,” katanya.
Untuk rekod, Poland gagal melepasi peringkat kumpulan dalam tiga penampilan terakhir di Piala Dunia dengan hanya mengutip tiga mata pada edisi 2018, 2006 dan 2002.
Dalam pada itu, Lewandowski mengakui beliau akan menjadi pemain sasaran untuk 'dirantai' pertahanan Mexico pada aksi tersebut sambil memberitahu pasukannya sudah bersedia sekiranya mexico menggunakan strategi tersebut.
"Kami sedar bahawa pertahanan Mexico sudah pasti tidak akan memberikan peluang kepada saya, namun situasi ini akan memberi lebih banyak ruang kepada pemain lain dan kami bersedia untuk situasi seperti ini,” ujarnya.