KUALA TERENGGANU - Akar umbi UMNO berpegang teguh terhadap prinsip 'No Anwar, No DAP' kerana ia adalah keputusan majoriti yang tidak boleh dijual beli serta merupakan mandat diberikan kepada pemimpin parti menerusi dua siri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebelum ini.
Setiausaha UMNO Bahagian Setiu, Mohd Iskandar Jaafar berkata, pendirian itu membawa maksud seluruh ahli dan akar umbi UMNO menolak gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH).
"Gabungan ini (BN-PH) disebut antara kolisi paling stabil untuk membentuk kerajaan. Namun, ada harga mahal yang perlu dibayar UMNO. Prinsip 'No Anwar, No DAP' adalah keputusan majoriti akar umbi yang tidak boleh di jual beli.
"Prinsip ini bukan saja melibatkan perbezaan dasar, malah maruah dan harga diri tiga juta ahli UMNO yang telah memberi mandat kepada pemimpin melalui PAU. Bukan sekali, malah dua kali berturut-turut PAU mengulangi prinsip No Anwar No DAP ini," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
"Selama lebih 60 tahun ahli UMNO diasuh, diajar dan didoktrin bahawa DAP adalah musuh. Manakala pihak yang bersekongkol dengan DAP hanya lah alat untuk mereka mencapai agenda menguasai tanah air Malaysia.
"Doktrin ini sukar dihapuskan dalam diri setiap ahli UMNO. Tidak mudah untuk meyakinkan ahli UMNO untuk mengorbankan prinsip ini hanya dalam tempoh dua hari semata-mata untuk membantu Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menjadi Perdana Menteri," kata beliau.
Menurut Iskandar, keputusan paling tepat diambil UMNO ketika ini ialah tidak menyertai mana-mana kerajaan termasuk melalui gabungan bersama Perikatan Nasional (PN).
Kata beliau, penolakan terhadap BN oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah hakikat yang jelas, justeru amat memalukan jika BN masih lagi berlagak hebat untuk menjadi sebahagian dari kerajaan.
"Naratif gabungan (PN dan BN) ini sama sahaja jika dinilai dari aspek prinsip dan maruah UMNO dan tiga juta ahlinya. PN yang di ketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas mahu menggantikan UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara perlahan-lahan.
"Siapa yang mempertahankan UMNO ketika ramai pemimpinnya lari meninggalkan parti selepas PRU14? Bukan presiden seorang, bukan top 5 UMNO sahaja, tetapi UMNO kekal wujud kerana ada tiga juta ahli yang setia mempertahankan parti.
"Tidak mustahil mereka yang setia ini akan lari meninggalkan parti jika pemimpin memilih untuk membantu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri melalui gabungan ini dan tidak mustahil juga jika keputusan itu diambil, BN terus 'terkubur' dari politik Malaysia lima tahun akan datang," ujar beliau.