KUANTAN - Perikatan Nasional (PN) Pahang menunggu perkembangan peringkat pusat sebelum membuat sebarang rundingan dengan gabungan parti lain bagi membentuk kerajaan negeri.
Naib Pengerusinya, Rosli Abdul Jabar berkata, perkara itu juga tertakluk kepada keputusan PN pusat.
Menurutnya, setakat ini belum ada sebarang perkembangan ke arah itu namun dijangka akan diselesaikan dalam masa terdekat.
"Kita juga perlu melihat kepada keputusan BN pusat sama ada cenderung memilih PN atau Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan dalam membentuk kerajaan pusat.
"Kebiasaannya BN Pahang akan mengikuti jejak pusat jadi kita kena tunggu dan lihat perkembangannya sebelum membuat sebarang keputusan di Pahang ini," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Rosli yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, pembentukkan kerajaan negeri yang kini tergantung kerana tiada parti mendapat majoriti perlu disegerakan supaya urusan pentadbiran dapat diteruskan demi kepentingan rakyat.
"Kita masih berada dalam tempoh monsun timur laut dan banjir yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
"Sekiranya kerajaan negeri gagal dibentuk segera, ia akan menimbulkan masalah dalam pengurusan bencana itu sekali gus menyusahkan rakyat," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu PN melakar kejutan di Pahang apabila menang tujuh kerusi Parlimen dan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
BN pula terpaksa akur dengan pilihan rakyat apabila hanya menang di lima kerusi Parlimen dan 16 kerusi DUN.
Sementara itu, pilihan raya bagi kerusi DUN Tioman ditangguhkan ke 7 Disember depan berikutan kematian calon dari PN, Md Yunus Ramli, 61, pada awal pagi, Sabtu lalu.
Sejarah terlakar di Pahang apabila tiada parti bertanding pada PRU15 yang memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri sekali gus menyebabkan ia masih tergantung sehingga kini.
Untuk rekod PN menang di kerusi Parlimen Kuantan, Kuala Krau, Maran, Jerantut, Rompin, Indera Mahkota dan Temerloh manakala BN mengekalkan kerusi Parlimen Cameron Highlands, Pekan, Bera, Lipis dan Paya Besar.
Pakatan Harapan berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Bentong dan Raub.
Bagi kerusi DUN, PN unggul di DUN Tanjung Lumpur, Cheka, Luit, Chenor, Bukit Ibam, Kuala Sentul, Damak, Pulau Tawar, Tahan, Jengka, Beserah, Pulau Manis, Lanchang, Kuala Semantan, Lepar, Sungai Lembing dan Panching.
BN menang di DUN Peramu Jaya, Jelai, Muadzam Shah, Dong, Guai, Kerdau, Kemayan, Benta, Inderapura, Jenderak, Padang Tengku, Batu Talam, Bebar, Chini, Pelangai dan Sabai.
Bagi DUN Tanah Rata, Teruntum, Tras,Triang, Mentakab, Semambu, Bilut dan Ketari dimenangi PH.