PH berhak tentukan gabungan bentuk kerajaan

Iklan

KUANTAN - Pembentukan kerajaan campuran sudah dijangkakan apabila terbukti tiada gabungan parti yang menang dengan majoriti untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Fuziah Salleh berkata, sebagai gabungan yang menang paling banyak kerusi, Pakatan Harapan (PH) berhak memilih gabungan untuk membentuk kerajaan.

Iklan
Iklan

"Awalnya kita harapkan menang dengan majoriti untuk membentuk kerajaan sendiri namun dalam keadaan ini, PH terpaksa buat keputusan bergabung bagi membentuk sebuah kerajaan stabil kerana perkara ini berkait dengan maslahah ummah.

"Paling penting kerajaan yang terbentuk itu sederhana, tidak ekstrem, mampu pulihkan ekonomi, dapat menarik pelaburan asing dan ada kemampuan untuk tadbir urus negara," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Iklan

Fuziah berkata, rakyat perlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk meletakkan negara pada landasan betul dari semua aspek bukan kerajaan yang memecahbelahkan rakyat dengan isu perkauman dan agama.

"Sebab itu, dalam membentuk kerjasama dengan gabungan lain, perlu wujud persefahaman jelas dengan syarat bertulis yang perlu dihormati dan dipatuhi parti terlibat," katanya.

Iklan

Beliau berkata, persefahaman antara parti mampu mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil seperti mana sokongan ditandatangani pembangkang kepada Perdana Menteri sebelum ini.

"Walaupun gabungan kali ini bukan sempurna, yang penting perlu ada kesefahaman berpandukan dokumen bertulis," ujarnya.