PN kemuka lebih 112 SD sokong Muhyiddin PM ke-10: Hamzah

Iklan
Hamzah

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) telah mengemukakan lebih 112 surat akuan berkanun daripada Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan hari ini memaklumkan, jumlah surat akuan berkenaan mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

Iklan
Iklan

"Jumlah surat akuan yang dihantar melebihi 112, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik yang mendapat jumlah kerusi yang banyak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti, dan menamakan calon Perdana Menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum 2 petang hari ini.

Iklan

Bagaimanapun, Al-Sultan Abdullah hari ini memperkenan tempoh berkenaan dilanjutkan hingga 2 petang esok, susulan permohonan ketua parti politik dan gabungan parti politik yang diterima Istana Negara hari ini.

PRU15, yang paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

Iklan

Dalam PRU15 Sabtu lepas, Pakatan Harapan memenangi 82 kerusi, PN (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Parti Warisan (tiga) dan masing-masing satu kerusi daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) selain dua calon Bebas yang menang. - Bernama