SEREMBAN - Seorang pegawai bank dihukum penjara tujuh tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan hidup dengan hasil persundalan isteri bulan lalu.
Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 35 tahun selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati hidup sepenuhnya atau sebahagiannya daripada hasil persundalan isterinya yang berusia 35 tahun.
Perbuatan itu dilakukan pada 30 Oktober lalu jam lebih kurang 1.30 petang di sebuah hotel di Kuala Pilah.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tempoh 15 tahun dan dengan sebatan dan hendaklah juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh telah memaksa mangsa dan memperdagangkan mangsa bagi tujuan eksploitasi seks sejak Julai lalu bagi tujuan menyelesaikan bayaran hutang yang ditanggungnya.
Tertuduh telah mengenakan bayaran RM1,000 bagi satu jam terhadap pelanggan yang melanggan mangsa bagi tujuan eksploitasi seks.
Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abu Hassan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh bagi memberi pengajaran dengan mengambil kira kesalahan serius dilakukan.
Ujarnya, pengakuan salah tertuduh bukan syarat utama untuk dia diberi hukuman ringan.
Tertuduh dalam rayuannya memberitahu berasa malu, menyesal dan telah bertaubat serta berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
"Saya merayu hukuman seringannya supaya tidak putus sumber pendapatan kerana perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan kami kini tinggal di rumah sewa.
"Isteri juga ada sakit dan memerlukan saya berada disampingnya, saya mohon disatukan semula bersama isteri agar dapat melindungi dan membimbingnya ke jalan ALLAH," katanya.
Sementara itu di mahkamah berasingan, Hakim Datin Surita Budin menolak pengakuan salah tertuduh atas pertuduhan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) iaitu memperdagangkan isterinya bagi maksud eksploitasi seks yang dilakukan pada tarikh, waktu dan lokasi sama.
Keputusan itu dibuat selepas tertuduh tidak bersetuju dengan fakta kes dibacakan jurubahasa yang menyatakan tertuduh memaksa isteri melakukan perbuatan itu sedangkan ia adalah atas persetujuan bersama bagi meneruskan hidup.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes bagi serahan dokumen pada 30 November ini.