Ketiadaan pemain utama punca Sabah tewas: Kim Swee

Iklan
Kim Swee

PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui ketiadaan beberapa pemain utamanya menjejaskan persembahan pasukannya apabila tewas 1-3 pada aksi separuh kedua malam tadi.

Bagaimanapun, Kim Swee tetap memuji anak buahnya yang komited serta menampilkan aksi cukup baik pada perlawanan tersebut.

Iklan
Iklan

"Sudah tentu kita berhadapan dengan kesukaran tanpa beberapa pemain kerana kecederaan dan kita hadir hari ini dengan hanya 16 pemain.

"Semua pemain berjaya tunjukkan komitmen yang sangat tinggi dan ini penting untuk kita lalui pada masa akan datang,” katanya.

Iklan

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri, JDT mengesahkan tempat di final Piala Malaysia 2022 selepas menewaskan Sabah FC 3-1 (aggregat 4-1).

Dalam pada itu, Kim Swee ketika ditanya mengenai perancangannya pada musim depan, beliau mengakui akan membawa beberapa muka baharu bagi memperkuatkan lagi pasukan mengharungi saingan Liga-Malaysia (Liga-M) pada musim depan.

Iklan

Malah beliau turut memberi gambaran bahawa bekas pemain PJ City FC, Darren Lok berkemungkinan akan menyertai skuad badak itu memandangkan perbincangan kini sedang diadakan di antara kelab bersama pemain tersebut.

"Darren sememangnya menjadi sasaran kami pada musim depan tapi kami masih dalam proses perbincangan malah ia juga membabitkan beberapa pemain yang dalam perancangan Sabah FC, apapun kami bukanlah kelab yang mewah dari aspek kewangan.

"Mengenai dua pemain pinjaman dari JDT, Irfan Fazail dan Stuart Wilkins, saya menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang membenarkan kedua-dua pemain itu beraksi bersama Sabah FC pada musim depan

"Malah mereka dapat minit permainan yang baik terutamanya Stuart yang menunjukkan prestasi baik sepanjang musim ini. Apapun kami tunggu keputusan dari pihak JDT sama ada membenarkan mereka beraksi bersama Sabah FC atau sebaliknya," ujarnya.