Tiga MP Sabah sokong Muhyiddin PM ke-10

Iklan
Verdon

SHAH ALAM - Dua calon Bebas yang memenangi kerusi Parlimen Kudat dan Tenom di Sabah menyatakan sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10.

Memetik laporan Astro Awani, Datuk Verdon Bahanda (Bebas-Kudat) berkata, selain beliau dan Riduan Rubin (Bebas-Tenom), Ahli Parlimen Kota Marudu dari Parti Kesejahteraan Demoratik Malaysia (PKDM), Wetrom Bahanda yang juga merupakan abangnya turut menyatakan sokongan tersebut.

Iklan
Iklan

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, PN telah mengemukakan lebih 112 surat akuan berkanun (SD) daripada Ahli Dewan Rakyat yang memberi kepercayaan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, jumlah SD berkenaan mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Iklan

Terdahulu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melanjutkan proses mengemukakan gabungan pasca PRU15 bagi pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 dilanjutkan sehingga jam 2 petang Selasa.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, titah perkenan Seri Paduka Baginda itu adalah susulan daripada permohonan daripada ketua dan gabungan parti politik dan gabungan politik yang telah diterima oleh pihak Istana Negara hari ini.

Iklan