PASUKAN pilihan Brazil mula mengadakan sesi latihan pertama di Stadium Al Arabi pada Isnin, menjelang aksi pembukaan Kumpulan G Piala Dunia 2022 menentang Serbia pada awal pagi Jumaat.
Namun kehadiran ratusan pengamal media yang berharap dapat menyaksikan kemungkinan kesebelasan utama skuad Samba pada sesi tersebut tidak kesampaian.
Juara dunia lima kali itu tampil ke Qatar 2022 sarat dengan pemain berbakat, namun pengendali Tite merahsiakan sistem permainan dan pemain digunakannya dalam perlawanan pertama pasukan Amerika Selatan tersebut dengan persoalan terbesar mengelilingi status Vinicius Jr.
Pemain sayap Real Madrid berusia 22 tahun itu masih perlu mendapatkan tempat, dengan Tite masih merahsiakan sama ada akan menggandingkan Fred dengan rakan sepasukannya di Manchester United, Casemiro untuk memperkuatkan bahagian tengah atau melepaskan Vinicius di hadapan bersama Neymar, Richarlison dan Raphinha.
Malah terdapat dalam kalangan pemain Samba yang masih belum mengetahui secara pasti siapa yang akan bermain dalam kesebelasan awal menentang Serbia.
"Namun, semua sudah bersedia dan tahu setiap rancangannya serta tugasan perlu dilakukan tidak kira siapa yang menggalas tanggungjawab.
"Beberapa hari terakhir sesi latihan di Turin menggambarkan kesiapsediaan pasukan dan skuad itu sangat yakin dengan apa yang boleh dicapai di Qatar 2022,” kata pemain pertahanan Alex Sandro pada Isnin.
Brazil sebelum ini memulakan pra persiapan Qatar 2022 di Pusat Latihan Juventus, IItali selama lima hari kemudian bertolak ke Doha.
Dalam sesi latihan pertama di Doha pada Isnin, Tite memberi tumpuan kepada latihan berintensiti tinggi untuk mengekalkan penguasaan bola dalam ruang sempit yang melibatkan seluruh skuad selama lebih kurang sejam.
Pada ketika beberapa pasukan besar kehilangan tonggak masing-masing berikutan kecederaan berikutan jadual kelab yang padat terutamanya di Eropah, Brazil masih mempunyai semua pemain utama dalam prestasi terbaik.
"Saya bersimpati dan minta maaf kepada para pemain yang cedera dan akan terlepas kejohanan. Mengenai kebimbangan Brazil, jelas sekali adalah baik untuk semua pemain cergas dan bermain dengan baik.
"Ia adalah satu petanda yang memberi kami rangsangan dalam keyakinan menjelang apa yang akan datang,” kata Sandro.