Keputusan BN-PH kerjasama bentuk kerajaan diketahui esok

Iklan
Ka Siong pada sidang media selepas membuat lawatan ke Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kluang hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Keputusan sama ada BN akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam membentuk kerajaan akan diketahui pada Selasa.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, masih belum ada sebarang keputusan dibuat dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

Iklan
Iklan

"Masih akan diteruskan perbincangan memandangkan Istana Negara telah mengeluarkan satu perintah di mana sebelum jam 2 petang esok untuk dimuktamadkan kesemuanya.

"Setakat ini saya tak boleh maklumkan apa-apa kerana belum ada satu kata putus,” katanya ketika ditemui pemberita di ibu pejabat UMNO di sini pada Isnin.

Iklan

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilapor berkenan melanjutkan tempoh masa kepada parti politik untuk membentuk kerajaan sehingga jam 2 petang Selasa.

Selaras lanjutan itu, parti politik kini memiliki tambahan sekurang-kurangnya 24 jam lagi untuk merundingi pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sekali gus menamakan seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10.

Iklan

Ka Siong menambah, BN akan melihat kesemua kemungkinan dalam melibatkan kerjasama dengan mana-mana gabungan.

Dalam pada itu, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, pendirian parti tersebut dalam soal kerjasama dengan PH adalah tertakluk kepada mesyuarat yang akan datang.

Menurutnya, dalam soal rundingan bersama PH, sebanyak tujuh orang telah diberi tanggungjawab menjalankan perbincangan.

"Tiada keputusan lagi. Mereka akan meneliti kedua-dua dan buat yang terbaik untuk negara.

"Tiada lagi konsensus siapa yang wajar disokong sama ada (Pengerusi PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim atau (Pengerusi PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.