[VIDEO] Saarani angkat sumpah MB Perak ke-15

Iklan
Saarani mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-15.

KUALA KANGSAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-15 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Isnin.

Pengerusi BN Negeri itu menerima watikah pelantikan daripada Sultan Nazrin yang kemudian mengangkat sumpah jawatan di hadapan baginda di Istana Iskandariah, di sini.

Iklan
Iklan

Beliau kemudian menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Suaidi Abdul Rahim.

Sultan Nazrin memberi perkenan perkara itu selaras dengan Perkara 16 Fasal 2(a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

Iklan

Pembentukan kerjasama menerusi gabungan dua parti itu memperoleh sokongan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada keseluruhan 59 kerusi, sekali gus melepasi majoriti mudah 30 kerusi untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Turut berangkat pada istiadat berkenaan, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Iklan

Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Dihilir, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.

Saarani yang memakai baju Melayu hitam lengkap bersamping hitam hadir diiringi isterinya, Datin Aezer Zubin.

Antara pemimpin politik yang hadir, Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) yang juga Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Chang Lih Kang.

Hadir sama, Ketua Pemuda Pas Perak, Mohd Hafez Sabri serta barisan ADUN BN dan PH yang baharu dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan PRU15 yang diumum pada Sabtu menyaksikan PH berjaya menenangi 24 kerusi dan BN sembilan kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 26 kerusi.

Pada PRU15, Saarani menang di kerusi DUN Kota Tampan dengan 5,468 undi dan majoriti 1,237 undi menewaskan Mohd Jamil Yahya (PN) dan Mohd Sabri Abdul Manaf (PH).

Beliau dipilih sebagai ADUN Kota Tampan sejak 2004 dan dilantik menjadi Menteri Besar Perak ke-14 sejak 10 Disember 2020 menerusi gabungan tiga parti iaitu BN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Sultan Nazrin memberi perkenan pelantikan Saarani sebagai Menteri Besar Perak ke-15 selaras dengan Perkara 16 Fasal 2(a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

Saarani juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pembangkang DUN Perak dari 2018 hingga 2020.

Sepanjang berkhidmat sebagai ADUN, beliau memegang beberapa portfolio antaranya Exco Pembangunan Luar Bandar dan Perladangan; Exco Penerangan dan Pembangunan Modal Insan dan Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.

Pelantikan Saarani mengisi senarai Menteri Besar Perak bersama 12 yang lain iaitu Datuk Seri Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz (1948-1957); Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi (1957-1960); Datuk Seri Shaari Shafie (1960-1964) dan Datuk Seri Ahmad Said (1964-1970).

Datuk Seri Kamaruddin Mohd Isa (1970-1974); sebelum Mohamed Ghazali sekali lagi dilantik selama empat tahun dari 1974 hingga 1977; Datuk Seri Wan Mohamed Wan Teh (1977-1983), Tan Sri Ramli Ngah Talib (1983-1999); Tan Sri Mohd Tajol Rosli Mohd Ghazali (1999-2008); Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (2008-2009), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (2009-2018) dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (2018-2020).