TELUK INTAN - Hasrat seorang peniaga untuk menjual makanan di Teluk Intan tidak kesampaian selepas dia disahkan meninggal dunia dalam satu kemalangan di KM12 Jalan Teluk Intan - Hutan Melintang, petang semalam.
Mangsa dikenali sebagai Wak Mus, berusia 43 tahun maut di lokasi kejadian selepas van yang dipandunya merempuh belakang sebuah lori dalam kejadian pada jam 4.20 petang.
Menurut sumber, mangsa dikatakan dalam perjalanan ke Teluk Intan dari rumahnya di Kampung Kebun Baru, Hutan Melintang untuk berniaga bersama isteri dan seorang anak perempuannya.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila lori yang dipandu lelaki berusia 36 tahun dari arah Hutan Melintang hendak masuk ke simpang.
"Pemandu lori berkenaan hendak masuk ke Taman Semesti Selesa dan berhenti di lorong kanan jalan, mangsa yang memandu van dari arah belakang kemudiannya melanggar belakang sebelah kiri lori terbabit.
"Akibat daripada kemalangan tersebut mangsa tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat," katanya dalam satu laporan di sini.
Menurut Mohd Marzukhi, isteri dan anak mangsa yang menaiki van tersebut mengalami luka di kepala dan kaki serta menerima rawatan pesakit luar di Hospital Teluk Intan, manakala pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa mendapati punca kematian adalah kecederaan berganda disebabkan kemalangan jalan raya dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Rosli Wan Chik berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 4.24 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.
"Setibanya anggota di lokasi mendapati sebuah van melanggar belakang lori dan pemandu van tersebut tersepit serta telah disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans.
"Anggota kemudiannya menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pihak polis dan operasi tamat jam 7.21 petang," katanya.