SEREMBAN - [DIKEMASKINI] Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap agar penerimaan baik yang ditunjukkan oleh penduduk DUN Rantau akan diterjemah dengan memilih beliau sekali lagi sebagai wakil rakyat di kawasan itu.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, masih banyak yang beliau ingin lakukan untuk kesejahteraan rakyat di sini.
"Sepanjang dua minggu kempen ini saya sangat gembira kerana rata-rata pengundi menunjukkan sokongan yang sangat baik.
"Jadi saya harap ia diterjemah (sokongan) ke dalam kotak undi (pilih beliau) dan beri saya peluang jadi wakil rakyat," katanya pada sidang media selepas mengundi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJKC) Chung Hwa Rantau di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohamad yang menjadi ADUN Rantau selama tiga penggal, tiba di pusat pengundian pada jam 8.20 pagi ditemani isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin dan lima anaknya.
Sebaik selesai, Mohamad mengambil peluang bermesra dengan pengundi sebelum beredar untuk melawat ke pusat pengundian lain.
PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Mohamad, calon PH, Dr S Streram serta dua calon Bebas, R Malar dan Mohd Nor Yassin.