KUALA LUMPUR - Pengamal media tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan perumahan yang didiami Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pagi ini.
Perkara itu dimaklumkan pengawal keselamatan bertugas di sini bahawa pihaknya menerima arahan sedemikian.
Pengawal keselamatan yang enggan mendedahkan identiti itu turut memohon maaf kerana tidak dapat memberikan keizinan kepada petugas media.
"Saya mohon maaf, media memang tak boleh masuk, kami hanya jalankan tanggungjawab.
"Semalam ada petugas media yang masuk, namun hari ini, memang tak boleh," jawabnya kepada para petugas media pada Selasa.
Petugas media dari beberapa agensi hadir seawal jam 5 pagi di sekitar kawasan pintu masuk perumahan yang didiami Pengerusi PH itu bagi mendapatkan perkembangan terkini berkaitan situasi berkaitan pembentukan kerajaan yang dijangka pada hari ini.
Berdasarkan keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tiada mana-mana gabungan parti berjaya memperoleh majoriti 50 peratus daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertandingkan untuk membentuk kerajaan.
Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan ketua-ketua parti politik yang mempunyai majoriti terbanyak mengemukakan gabungan baharu dan calon Perdana Menteri kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang, Selasa.