GRS dicadang gabung dengan Warisan atau bubar DUN Sabah

Iklan
Jafery Jomion

PENAMPANG - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dicadang supaya menjalin kerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) atau membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah jika tiada jalan penyatuan kerjasama daripada semua pihak atau parti politik.

Pandangan itu disuarakan oleh Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Kepayan, Jafery Jomion selepas mengambil kira situasi semasa berikutan kerajaan pusat ketika ini belum terbentuk dan BN/UMNO dilihat sudah memulakan api persengketaan.

Iklan
Iklan

"Biarlah GRS dan Warisan dari parti lokal bekerjasama sebagai kerajaan negeri yang baharu atau GRS membubarkan DUN untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) sekali lagi.

"Ini demi menghormati sistem demokrasi berperlembagaan sekiranya tiada jalan penyatuan kerjasama daripada semua pihak atau parti politik," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Beliau dalam pada itu merayu supaya pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dapat membentuk satu gabungan besar untuk membina sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat dan stabil.

"Gabungan besar itu membabitkan 155 kerusi bagi kedua-dua blok tidak termasuk kerusi milik GRS enam kerusi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 22 kerusi dan yang lain-lain.

Iklan

"Ini berikutan dengan beberapa kenyataan pemimpin pusat BN/UMNO dan negeri yang dilihat sudah memulakan api persengketaan yang akan membakar rumah politik yang telah dibina demi mendapat kepanasan daripada mati kesejukan," katanya.

Jafery menambah, sudah tiba masanya PH dan PN bekerjasama mengubur dan mengajar pemimpin BN/UMNO yang menjadi duri dalam daging semasa pemerintahan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Perdana Menteri terus ditekan untuk membubarkan Dewan Rakyat ketika negara berdepan dengan masalah banjir demi menyelamatkan diri sebelum dijatuhkan hukuman.

"Sepatutnya pemimpin PH dan PN bersatu hati memberi pengajaran kepada UMNO dengan mengunakan 30 kerusi mereka sebagai pembangkang supaya negara lebih stabil.

"Bukannya memberi peluang kepada mereka membentuk gabungan BN dan PH sebagai kerajaan campuran yang ditolak sendiri oleh orang Melayu berikutan kekalahan teruk UMNO/BN pada Sabtu lalu," katanya.