DAP arah anggota, semua pihak jaga ketenteraman

Iklan
Anthony Loke


SHAH ALAM – DAP meminta semua pihak dan mengarahkan semua anggota DAP supaya sentiasa menjaga keharmonian serta ketenteraman awam selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, keamanan dan kedamaian dalam kalangan masyarakat kita mesti dipelihara dalam meraikan proses demokrasi yang semakin subur di negara ini.

"Ketika proses pembentukan kerajaan baharu selepas PRU15 masih berjalan, DAP minta semua pihak untuk kekal bertenang dan sabar menunggu keputusan muktamad daripada Yang Di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, apa yang berlaku hari ini adalah sesuatu yang baharu di negara ini namun ia adalah proses biasa yang perlu dilalui dalam sistem demokrasi Berparlimen ala Westminsters di mana tiada satu parti atau gabungan yang memenangi pilihan raya.

Pada Isnin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis memberi peringatan dan penegasan kepada pengguna media sosial agar mengekang diri daripada menyalahgunakan platform tersebut.

Katanya, polis juga mengeluarkan amaran terhadap pengguna media sosial ekoran banyak kandungan menyentuh sentimen perkauman dan keagamaan serta menghina institusi diraja sejak PRU15 berlangsung.

Pada PRU15, Pakatan Harapan (PH) memperoleh 76 kerusi Parlimen di seluruh negara manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 51 kerusi, BN (30), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (22), Pas (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), DAP (lima) dan Warisan (tiga).

Muda dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) masing-masing memperoleh satu kerusi Parlimen manakala Bebas dua.