KETUA jurulatih Senegal, Aliou Cisse mengakui ketiadaan penyerang utamanya, Sadio Mane yang disisihkan akibat kecederaan lutut memberi kesan besar kepada jentera serangannya.
Justeru beliau meminta supaya barisan serangan yang ada ketika ini, perlu lebih tajam dan klinikal selepas kegagalan pemain-pemainnya menyudahkan peluang yang dicipta ketika tewas 0-2 di tangan Belanda dalam aksi pertama Piala Dunia di Stadium Al Thumama, awal pagi tadi.
"Kami kecewa kerana tidak mampu untuk menjaringkan gol, walaupun mempunyai dua atau tiga peluang untuk berbuat demikian.
"Saya harus akui ketiadaan Mane menjadi masalah buat barisan serangan kami. Justeru pemain yang ada ketika ini Ismaila dan Kreplin perlu menggalas tanggungjawab dan perlu lebih tajam di depan gol.
"Penyerang pasukan ini bagus dan kami tahu kemampuan yang dimiliki mereka. Jadi kami harap akan cipta lebih banyak jaringan selepas ini,” katanya.
Sebelum ini, jaringan lewat permainan oleh Cody Gakpo dan Davy Klaassen memastikan Belanda mengutip tiga mata penuh untuk menghuni tangga teratas liga di belakang Ecuador.
Dalam pada itu, Cisee turut mengakui, kecederaan yang dialami pemain utamanya pada babak kedua, turut menyumbang kepada kekalahan pasukannya pada perlawanan tersebut.
"Saya bimbang dengan pemain yang cedera... bagi Abdou, ia adalah masalah otot dan Kouyate terseliuh di bahagian buku lali, kami perlu jalankan pemeriksaan dan memastikan mereka bersedia untuk perlawanan seterusnya," katanya.
Senegal seterusnya akan menentang Qatar pada Jumaat ini sebelum berdepan Ecuador empat hari kemudian.