PEPIAS: Remaja diingatkan elak main isu kebencian kaum

Iklan
Muhammad Zakir


SHAH ALAM - Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS) amat khuatir dengan sentimen perkauman dan keagamaan yang berlegar-legar di media sosial selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya, Muhammad Zakir Abdul Razak berkata, ada dalam kalangan pengguna media sosial kini menaikkan semula kisah sejarah 13 Mei 1969 dan mengaitkan peristiwa ini dengan kaum-kaum tertentu.

"Negara ini amat memerlukan kelompok pemimpin yang mampu merangkul dan mengangkat semua kepentingan kaum sebagai agenda utama negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, apa yang lebih membimbangkan adalah rata-rata pengguna media sosial yang memuatnaik kanduangan ini adalah terdiri daripada golongan remaja.

"Ibu bapa juga perlu mula lebih memantau dan mengawasi anak-anak yang terdedah dengan akses media sosial terutama sekali aplikasi TikTok.

"Aplikasi ini menjadi tumpuan dan perhatian golongan remaja dalam dua tiga tahun kebelakangan ini. Maka, amat berisiko tinggi jika kita membiarkan media sosial ini dihiasi dengan kandungan yang mengajak kepada kebencian dan isu perkauman,” jelasnya.

Selain itu, PEPIAS turut memuji tindakan pantas pihak polis yang memberi peringatan dan amaran kepada mana-mana pihak agar tidak mencetuskan provokasi dan kebencian kaum.

Pada Isnin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani berkata, polis memberi peringatan dan penegasan kepada pengguna media sosial agar mengekang diri daripada menyalahgunakan platform tersebut.

Katanya, polis juga mengeluarkan amaran terhadap pengguna media sosial ekoran banyak kandungan menyentuh sentimen perkauman dan keagamaan serta menghina institusi diraja sejak PRU15 berlangsung.

Pada PRU15, Pakatan Harapan (PH) memperoleh 76 kerusi Parlimen di seluruh negara manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 51 kerusi, BN (30), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (22), Pas (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), DAP (lima) dan Warisan (tiga).

Muda dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) masing-masing memperoleh satu kerusi Parlimen manakala Bebas dua.