SKMM bertindak ke atas kandungan berbaur kebencian, provokasi

Iklan
SKMM akan bertindak ke atas pihak yang terlibat membangkitkan sentimen kebencian dan provokasi. Foto 123RF

CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan bertindak ke atas pihak yang terlibat membangkitkan sentimen kebencian dan provokasi terhadap institusi raja, perkauman dan agama.

Tegas Pengerusi Interim SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, tindakan penguatkuasaan bersama polis itu diambil berdasarkan aduan daripada orang awam mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.

Iklan
Iklan

"Orang ramai diingatkan untuk berhemah serta menjauhkan diri daripada memberikan pandangan yang berbaur kebencian membabitkan kaum dan agama," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, semua pihak harus menghormati keputusan pilihan raya dan pemilihan Perdana Menteri yang akan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dengan hati terbuka.

Iklan

"Sehubungan itu, SKMm akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R, iaitu raja (Royalty), agama (Religion) dan kaum (Race)," katanya.

Beliau berkata, sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Iklan

"Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Mohamad Salim berkata, sebarang aduan berhubung kandungan bersifat hasutan, provokasi ataupun menghina boleh disalurkan kepada SKMM melalui pautan https://aduan.skmm.gov.my/.

"Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/," katanya.