PRU15: Tidak putus asa walau kalah teruk

Iklan
Mohd Johari


DUNGUN - Walaupun tidak mampu memenangi hati rakyat dan hanya mendapat sokongan kecil dalam Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15),namun ia bukan noktah bagi calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Dungun, Datuk Dr Mohd Johari Mohammad.

Beliau yang hanya memperoleh 5,307 undi berada di belakang calon BN, Nurhisam Johari yang mendapat 25,615 undi manakala Wan Hassan Mohd Ramly dari Perikatan Nasional (PN) berjaya mengekalkan jawatan selama tiga penggal berturut-turut dengan jumlah undi sebanyak 59,720.

Mohd Johari berkata, walaupun prestasi agak teruk, namun beliau tidak akan berhenti dalam memperjuangkan semangat parti dan terus berusaha membela nasib rakyat.

"Saya akan teruskan perjuangan dan tidak akan tinggalkan penduduk di Dungun begitu sahaja.

Beliau turut mengakui pengundi muda terutama yang berusia 18 tahun membawa gelombang kepada kekalahannya dalam PRU kali ini.

"Faktor orang muda memang menjadi punca kekalahan di sini tidak seperti di kawasan luar yang rakyatnya mula terbuka menerima PH.

"Keterbukaan mereka lebih kepada PN dan walaupun kita menawarkan manifesto terbaik tetapi mereka tidak nampak.

"Mereka bertindak tanpa memikirkan kesan jangka panjang dan undi anak muda memang menyumbangkan kekalahan PH di Dungun," jelas beliau.