KAJANG - [DIKEMAS KINI] Tindakan seorang ahli perniagaan yang tular kerana memukul isterinya di sebuah rumah minggu lalu, mengundang padah apabila dia dipenjara tiga bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.
Reduan Mahamood, 58, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz.
Sebelum menjatuhi hukuman, Nik Siti Norazlini berharap tertuduh menjadikan hukuman itu sebagai pengajaran.
"Seorang isteri adalah pendamping bukannya 'punching' beg, jangan buat lagi pada anak, isteri dan pada sesiapa sahaja," katanya.
Mahkamah memerintahkan lelaki itu dijel sebulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Reduan didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Adrina Mohd Ariff, 45, dengan memukul dan menendang mangsa, di sebuah unit kondominium di Batu 9, Cheras di sini pada jam 5.13 petang, 14 November lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, tertuduh yang diwakili peguam, Mohd Shafiq Ahmed Bazari merayu agar Reduan dikenakan hukuman ringan kerana dia menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.
"Anak guam saya juga merupakan penanggung utama keluarga selain telah insaf dengan kesalahan yang dilakukan," katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Pada Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki dikecam warga maya kerana memukul seorang wanita dipercayai isterinya tanpa belas kasihan, di hadapan seorang kanak-kanak perempuan.
Kejadian itu tular selepas video berdurasi satu minit tujuh saat memaparkan wanita itu bukan sahaja diseret malah dipukul dan berulang kali dipijak oleh lelaki berkenaan.