KUALA KANGSAR - Penubuhan kerajaan bersama BN disifatkan suatu landskap baharu yang akan mengukuhkan kestabilan politik dan bukannya resipi bencana seperti didakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Exco Perak, Datuk Seri Dr Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, sebagai satu pasukan, kerjasama itu dilihat dapat menentukan hala tuju kebaikan negeri.
"Itu pandangan beliau (Ahmad Faizal) sendiri. Kita sudah alami kemelut ini sekian lama barangkali resipi ini bukannya yang buruk.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Ahmad Faizal yang menyifatkan keputusan BN menubuhkan kerajaan bersama PH pada Isnin sebagai satu resipi untuk bencana selain semata-mata untuk kekal berkuasa.
Menurut bekas Menteri Besar Perak itu, formula baharu yang dibentuk ini akan dilaksanakan sebaiknya demi kebaikan rakyat.
"Inilah realiti politik baharu. Kita sudah lupakan segala perkara yang menyebabkan perselisihan faham serta merugikan kepada rakyat.
"Kita rasakan inilah kerajaan BN, PH yang boleh membela serta meningkatkan semula ekonomi, sosial dan perkara-perkara lain," katanya.