PENGENDALI Terengganu FC, Nafuzi Zain mengakui beliau sedikit kecewa kerana gagal membawa pasukannya ke pentas final Piala Malaysia 2022 pada musim terakhirnya bersama skuad Penyu tersebut.
Bagaimanapun jurulatih kelahiran Kelantan itu tetap berbangga dengan persembahan pemain-pemainnya yang telah telah berjuang habis-habisan untuk memastikan TFC mara ke pentas akhir.
"Malam ini (malam Isnin) pemain beraksi dengan baik dari awal perlawanan hinggalah ke minit terakhir perlawanan. Selepas gol pertama pada separuh masa pertama, saya jangkakan pemain mampu menjaringkan gol lagi pada babak kedua, tapi pertahanan Selangor beraksi dengan baik dan begitu berdisiplin.
"Situasi ini sedikit sebanyak menyukarkan pemain untuk menghasilkan jaringan walaupun beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol.
"Bagaimanapun saya akur mungkin rezeki kita hanya di separuh akhir musim ini," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.
Pada perlawanan itu TFC berjaya menundukkan skuad The Red The Giants dengan keputusan 1-0 menerusi gol Kipre Tchetche pada minit ke-35, namun gagal layak ke final selepas ketinggalan dengan agregat 2-3.
Dalam pada itu Nafuzi ketika ditanya berkenaan khabar angin yang mengaitkan dirinya bersama pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC, beliau berkata perkembangan tersebut akan diumumkan selepas kontraknya bersama Terengganu berakhir pada hujung bulan ini.
"Sejujurnya saya akan merindui peminat setia Terengganu terutama selepas tujuh tahun berkhdimat di bumi Terengganu, tapi saya terpaksa pergi demi karier.
"Sekarang saya masih bersama TFC dan kontrak akan berakhir hujung bulan ini, jadi mungkin pada masa sesuai nanti saya akan umumkan destinasi musim depan,” ujarnya.