KUANTAN - Pakatan Harapan (PH) Pahang mengekalkan calon yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada 7 Disember depan.
Pengesahan itu dibuat oleh Pengerusi Amanah negeri, Zulkifli Mohamad ketika ditanya kemungkinan ada penukaran calon yang akan bertanding di kerusi berkenaan pada hari penamaan calon Khamis ini.
"Kita sudah buat keputusan untuk kekal calon sedia ada (Mohd Fadzli Mohd Ramly) di DUN Tioman dan tiada sebarang perubahan.
Zulkifli memaklumkan Mohd Fadzli adalah calon yang sudah dikenali pengundi di kawasan Rompin dan pernah bertanding sebelum ini.
Tambahnya, Mohd Fadzli mampu memberi saingan kepada calon yang akan bertanding merebut kerusi itu pada Disember nanti.
"Kita akan gempur habis-habisan untuk memastikan calon PH ini dipilih sekali gus menambah bilangan kerusi DUN di Pahang," ujar beliau.
Pada Sabtu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan penangguhan proses pengundian bagi kerusi DUN Tioman selepas calon Perikatan Nasional (PN), Md Yunus Ramli meninggal dunia di Hospital Rompin akibat komplikasi jantung.