Korban gempa Indonesia meningkat 268 orang

Iklan
Anggota penyelamat membawa keluar mayat yang terperangkap bawah runtuhan rumah di Cianjur. - AFP

CIANJUR - Jumlah korban akibat gempa bumi 5.6 magnitud yang melanda wilayah Jawa Barat meningkat kepada 268 orang pada Selasa.

Pada masa sama, anggota penyelamat dan saudara-mara bertungkus-lumus mencari mangsa masih terselamat dalam runtuhan rumah dan tanah sejurus gempa bumi cetek yang berlaku pada Isnin.

Iklan
Iklan

Ketua Agensi Mitigasi Bencana Nasional Indonesia (BNPB), Suharyanto berkata, angka kematian melonjak secara mendadak dari 162 kepada 268 orang sehingga lewat petang Selasa.

"Tumpuan kami masih diberikan kepada usaha mencari dan pemindahan mangsa. Itu keutamaan kami," ujarnya.

Iklan

Semasa upacara pengebumian di sebuah perkampungan berhampiran Cianjur, saudara-mara kepada mangsa, Hussien yang maut selepas dihempap rumah ketika gempa bumi berlaku, dilihat meraung-raung ketika lelaki berusia 48 tahun dikebumikan.

"Saya baru kehilangan seorang abang sejak 10 hari lalu. Sekarang seorang lagi pergi meninggalkan kami," kata adiknya, Siti Rohmah.

Iklan

Sementara itu, seorang anggota penyelamat, Dimas Reviansyah, 34, berkata, pasukannya menggunakan mesin gergaji dan jengkaut untuk mengalih timbunan pokok dan serpihan bagi mencari mangsa masih hidup.

"Saya tidak boleh tidur sejak semalam (Isnin), tetapi mesti meneruskan usaha mencari kerana ada mangsa belum ditemui," katanya.

Rakaman dron yang diambil AFP menunjukkan anggota penyelamat sedang menggunakan jentera berat bagi membersihkan jalan raya akibat tanah runtuh.

Presiden Indonesia, Joko Widodo melawat kawasan gempa bumi pada Selasa telah menawarkan pampasan kepada mangsa dan mengarahkan agensi bencana dan penyelamat untuk 'menggerakkan seluruh kakitangan mereka' ke lokasi terjejas. - AFP