SKUAD Tunisia boleh menarik nafas lega apabila berjaya mencuri satu mata setelah terikat tanpa jaringan dengan Denmark dalam aksi Kumpulan D Piala Dunia di Stadium Education City sebentar tadi.
Denmark yang diperkuatkan dengan pemain bintang, Christian Eriksen, Thomas Delaney dan Pierre-Emile Hojbjerg menguasai babak pertama perlawanan, namun Tunisia ampuh bertahan.
Tunisia yang menghuni ranking ke-30 dunia juga enggan mengalah dengan serangan balas pantas dan ia membuahkan hasil apabila Issam Jebali meledak gawang Denmark.
Bagaimanapun jaringan itu dibatalkan pengadil perlawanan kerana ofsaid.
Bersambung babak kedua, Tunisia berpeluang untuk berada di depan.
Namun jaringan Andreas Skov Olsen pada minit ke-56 dibatalkan oleh pengadil setelah Mikkel Damsgaard berada di kedudukan ofsaid semasa serangan dilakukan.
Malah pengadil juga enggan menggunakan khidmat video bantuan pengadil (VAR) untuk melihat semula insiden sebaliknya memberikan sepakan sudut kepada Tunisia.
Denmark juga berpeluang untuk mendapatkan sepakan penalti setelah bola terkena tangan Yassine Meriah pada masa kecederaan.
Bagaimanapun setelah pemeriksaan VAR, pengadil membatalkan sepakan penalti tersebut.
Selepas ini Tunisia akan berdepan cabaran Australia pada Sabtu, manakala Denmark pula bakal menentang Perancis pada Ahad.