Persoalan siapa Perdana Menteri, kerajaan belum terjawab

Iklan
Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin

PELANTIKAN Perdana Menteri ke-10 dan pembentukan kerajaan baharu sehingga hari ini masih lagi tergantung sekali gus menjadi tanda tanya kepada rakyat.

Ia susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada mana-mana gabungan parti yang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Iklan
Iklan

Keputusan pilihan raya pada Sabtu lalu mendapati Pakatan Harapan (PH) memenangi 84 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) 73 kerusi, BN (30) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula menang 22 kerusi.

Selain itu, Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), Parti Warisan Sabah (Warisan) (tiga) dan calon Bebas (dua).

Iklan

Keadaan itu menyaksikan PH atau PN perlu mendapat sokongan daripada BN untuk membolehkan gabungan mereka membentuk kerajaan.

Walaupun BN kini dilihat menjadi penentu atau 'king maker' dalam membentuk jajaran kerajaan baharu, namun parti itu pada Selasa menegaskan untuk kekal sebagai pembangkang dengan tidak menyokong mana-mana gabungan itu.

Iklan

Perkara itu diumumkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hasil kesepakatan Dewan Tertinggi BN.

Berikutan itu, PH dan PN yang masing-masing memperoleh kerusi terbanyak dan kedua terbanyak gagal membentuk kerajaan baharu biarpun mendapat sokongan parti-parti lain.

Justeru, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap jam 4.30 petang pada Selasa.

Dalam satu kenyataan, Istana Negara memaklumkan titah tersebut dikeluarkan selepas Seri Paduka Baginda mendapati tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, menurut Anwar, setakat ini masih belum ada keputusan berhubung calon yang layak untuk menjadi Perdana Menteri ke-10 dan pembentukan kerajaan baharu.

Manakala Muhyiddin dilihat keluar lebih awal dari Istana Negara sekitar jam 5.15 petang, namun tidak berhenti untuk mengadakan sidang media bersama wartawan yang menunggu sejak pagi.

Susulan itu, Al-Sultan Abdullah menitahkan 30 ahli Dewan Rakyat daripada Barisan Nasional (BN) menghadap pada jam 10.30 pagi, Rabu di Istana Negara.

Menurut Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, proses ini supaya Seri Paduka Baginda dapat membuat keputusan untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat, yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan.